KUALA NERUS, 10 Januari 2025 – Majlis Kolej Kediaman (MKK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan program Vision 360 yang mengukuhkan kerjasama dengan Perwakilan Kolej Kediaman 1 (PEKA 1), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Program yang bertujuan untuk mempererat hubungan dan berkongsi pengetahuan ini turut melibatkan perbincangan mendalam mengenai pengurusan kolej kediaman, merangkumi aspek kewangan, keselamatan, kebajikan, dan kerohanian.
Majlis ini yang turut dihadiri oleh Felo dari kedua-duab buah universiti dimulakan dengan sesi pengenalan oleh MKK, diikuti dengan pembentangan yang penuh bermakna oleh pihak PEKA 1.
Sepanjang program, kedua-dua pihak aktif bertukar pandangan dan berkongsi pelbagai idea konstruktif berkaitan fasiliti, keselamatan, pelaksanaan program, serta pengurusan kewangan yang lebih efektif.
Setelah sesi pembentangan, delegasi UMPSA diberikan peluang untuk mengikuti Campus Tour yang dipimpin oleh pihak MKK. Dalam lawatan ini, mereka berkesempatan melihat sendiri kemudahan yang tersedia di kampus UniSZA, sambil memberi maklum balas yang membina mengenai aspek yang boleh diperbaiki.
Sebagai hasil daripada pertemuan ini, MKK mendapat pelbagai ilmu baharu yang sangat berharga. Ilmu ini diharapkan dapat diterapkan dalam usaha memperkukuhkan kebajikan mahasiswa/i UniSZA secara mampan dan berkesan, bagi memastikan kesejahteraan mereka terus terjaga.