MEET AND GREET MAJLIS KOLEJ KEDIAMAN UniSZA BERSAMA MAHASISWA
KUALA NERUS, 9 Disember 2024 – Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berpeluang untuk bertemu dan berinteraksi dengan barisan kepimpinan Majlis Kolej Kediaman (MKK) dalam sesi Meet & Greet yang telah diadakan pada hari Isnin, 9 Disember 2024. Program ini telah diadakan di Speaker Corner, Kafeteria Kolej Kediaman, Kampus Gong Badak, bagi memperkenalkan kepimpinan baharu Majlis Kolej Kediaman bagi sesi 2024/2025.
Sesi selama satu jam bermula pukul satu petang ini menjadi pentas untuk barisan kepimpinan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk pengenalan media sosial rasmi MKK serta makluman pembukaan sekretariat bagi sesi baharu.
Para pelajar juga diberi penerangan mengenai Sistem Aduan Kerosakan (E-ADUAN) untuk memudahkan mereka melaporkan sebarang masalah berkaitan kemudahan yang disediakan di kolej kediaman secara lebih mudah dan efisien.
Menurut Abdul Hakim bin Mazlan, Presiden MKK, acara ini bukan sekadar platform untuk berkenalan, tetapi juga sebagai ruang penting bagi memperkukuhkan hubungan antara penghuni dan pihak pengurusan kolej kediaman.
“Sesi ini memberi peluang kepada kami untuk lebih dekat dengan mahasiswa dan memastikan setiap isu dapat diselesaikan dengan cepat. Kami ingin mewujudkan suasana yang harmoni dan penuh kerjasama dalam kalangan penghuni,” jelasnya.
Selain itu, sesi ini juga bertujuan untuk menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kolej, sekali gus memperkukuhkan rasa kepunyaan dan tanggungjawab terhadap kesejahteraan kehidupan kampus. Dengan suasana yang lebih mesra dan terbuka, diharapkan dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat antara pelajar, pengurusan kolej, dan pihak universiti.