KUALA NERUS, 16 November 2024 – Majlis Kolej Kediaman (MKK) dengan kerjasama Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar (KKKP) serta Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) telah berjaya menganjurkan Festival Nasyid dan Syarahan Agama (FENAS) Peringkat Institut Pendidikan Tinggi 2024, yang berlangsung pada 10 hingga 11 November 2024 di Tapak Ekspo Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Festival Nasyid UniSZA yang pertama kali diadakan pada 18 November 2023 bertujuan untuk mempopularkan seni nasyid sebagai budaya masyarakat Islam yang sarat dengan unsur keagamaan, serta memberi platform untuk berdakwah melalui muzik. Penganjuran festival ini turut bertujuan untuk menanamkan minat di kalangan generasi muda terhadap kesenian lagu nasyid.
Pada edisi kali ini, program tampil lebih menarik dengan penambahan sub-program Syarahan Agama, yang bertemakan "Al-Quran Membentuk Malaysia Madani".
Seramai 13 peserta syarahan dan 7 kumpulan nasyid dari universiti awam serta sekolah menengah telah mengambil bahagian dalam festival kali ini. Setiap acara yang dipertandingkan telah dinilai oleh barisan juri jemputan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.
Keputusan Pertandingan Syarahan Agama:
Johan Syarahan Agama: Ahmad Baihaqi bin Mohd Fadzil (UniSZA)
Naib Johan Syarahan Agama: Musfirah binti Mohd Faiz Hakimi (UniSZA)
Tempat Ketiga Syarahan Agama: Nabilah Athirah binti Mohd Junpalos (Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan)
Keputusan Pertandingan Nasyid:
Johan Nasyid: Kumpulan Kafi (UniSZA)
Naib Johan Nasyid: Kumpulan Putra Nahwand (UPM)
Tempat Ketiga Nasyid: Kumpulan CG Malaya (UM)
Majlis perasmian penutupan dan penyerahan hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, bertempat di pentas utama tapak ekspo.
Penganjuran Festival Nasyid dan Syarahan Agama (FENAS) Peringkat Institut Pendidikan Tinggi 2024 ini diharapkan dapat mengukuhkan kerjasama antara Majlis Kolej Kediaman UniSZA dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta, selain memberi peluang kepada para peserta dan urusetia untuk memperkasa kemahiran insaniah mereka. Ia juga bertujuan menghidupkan serta memelihara budaya kesenian Islam dalam kalangan generasi muda yang terlibat.