Kuala Nerus, 15 September 2024 – Majlis Kolej Kediaman (MKK) UniSZA telah berjaya menganjurkan program Go Green: MKK UniSZA X Geng Plastik Ija Bersama Komuniti yang penuh bermakna pada pagi Sabtu, 14 September 2024, bertempat di Pantai Sauh, Batu Rakit, Terengganu.
Program ini, yang diadakan dengan kerjasama Geng Plastik Ija (GPI) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), menerima sambutan luar biasa daripada warga UniSZA dan masyarakat setempat. Lebih 120 orang pelajar, 20 orang staf Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar (KKKP), serta Geng Plastik Ija dan penduduk tempatan telah bekerjasama dalam misi membersihkan pantai yang berharga ini.
Aktiviti ini bukan sahaja bertujuan menjaga kebersihan Pantai Sauh, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar, khususnya di kawasan pantai.
Turut memeriahkan majlis, Dr. W Omar Ali Saifuddin Bin Wan Ismail, Pengarah KKKP, serta Encik Nahiz, Ketua GPI Cawangan Kuala Nerus. Kedua-dua pemimpin ini memberi sokongan penuh terhadap inisiatif ini dan menyuarakan penghargaan atas kerjasama erat antara UniSZA, GPI, dan MBKT.
Encik Nahiz, mewakili GPI, menyampaikan ucapan terima kasih yang mendalam kepada MKK UniSZA atas usaha menganjurkan program yang begitu berjaya ini, dan berharap lebih banyak aktiviti melibatkan komuniti dapat dijalankan pada masa depan.
Dengan kejayaan ini, program Go Green diharapkan akan menjadi satu contoh yang memberi inspirasi kepada semua warga UniSZA untuk terus aktif dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Semoga inisiatif ini membuka jalan kepada lebih banyak program Hero Komuniti yang menyatukan masyarakat demi kelestarian bumi kita.