KUALA NERUS, 5 September – Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar (KKKP) UniSZA telah berjaya menganjurkan Bengkel Pemantapan Skop Fungsi dan Tanggungjawab Felo Kolej Kediaman pada 3 September 2024, yang diadakan di Dewan Ibnu Khaldun, Kampus Gong Badak.
Bengkel ini, yang disertai oleh 11 orang peserta terdiri daripada felo kolej kediaman serta kakitangan KKKP sebagai fasilitator, dirasmikan oleh Pengarah KKKP, Dr. W Omar Ali Saifuddin Wan Ismail. Program ini bertujuan untuk memupuk semangat prihatin dalam kalangan felo, serta memperjelas dan memperkukuh pemahaman mereka mengenai skop kerja yang diamanahkan.
Melalui bengkel ini, para peserta diterapkan dengan nilai-nilai murni dalam organisasi kepimpinan, sekaligus memberi penekanan terhadap pentingnya tanggungjawab individu dalam memimpin komuniti kolej kediaman.
Empat slot utama telah diadakan sepanjang bengkel ini, dikendalikan oleh barisan Pengurusan Tertinggi dan kakitangan kolej kediaman yang berperanan penting dalam memastikan kelancaran program. Setiap slot memberi penekanan kepada pengukuhan peranan dan tanggungjawab felo dalam memperkasa kebajikan pelajar.
Penghargaan khas turut disampaikan kepada Pn. Wan Iylia Syaheera Wan Abd Aziz, Pegawai Tadbir KKKP, atas komitmen dan usaha gigih beliau dalam memastikan bengkel ini berjaya direalisasikan dengan cemerlang.
Dengan penganjuran bengkel ini, diharapkan setiap felo akan lebih memahami peranan mereka dan saling bekerjasama untuk meningkatkan kebajikan serta kesejahteraan pelajar, demi kemajuan kolej kediaman UniSZA.