KUALA NERUS, 15 Ogos – Seramai 900 orang pelajar baharu program Asasi Sains Perubatan dan Diploma telah dihimpunkan dalam satu program bersama pengurusan Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar (KKKP) pada 31 Julai 2024.
Dianjurkan oleh Majlis Kolej Kediaman (MKK) dengan kerjasama oleh pejabat KKKP, Himpunan Kolej Kediaman (HIMPAK) ini telah dilangsungkan dengan jayanya bertempat di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak.
Bermula seawal jam 6.30 petang, para pelajar dan kakitangan KKKP telah mula memenuhi dewan untuk makan malam, bacaan surah Yaasin dan menunaikan solat maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan slot tazkirah yang disampaikan oleh Timbalan Pendaftar KKKP, Encik Rusdi Muda.
Usai solat isyak, perjalanan program diteruskan dengan sesi penerangan berkaitan kesihatan pelajar yang disampaikan oleh Dr. Yusmina Mohd Yusoff selaku Timbalan Pengarah, Bahagian Kesihatan Pelajar.
Program diteruskan dengan penyampaian amanat oleh Pengarah KKKP, Dr. W Omar Ali Saifuddin Wan Ismail dan sesi perkenalan barisan kakitangan KKKP kepada pelajar baharu.
Dalam ucapan yang disampaikan, pengarah telah memberi peringatan kepada pelajar baharu dan lama agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan demi menjaga keharmonian di kolej kediaman.
“Di sini, kami barisan kepimpinan adalah ibubapa para pelajar semua ketika berada di kolej kediaman. Datanglah kepada kami sekiranya anda mempunyai masalah dan memerlukan bantuan.”
Mengakhiri program, pengarah telah menyempurnakan gimik pelancaran HIMPAK 2024 sebelum semua pelajar dan kakiangan berkumpul di ruang tengah dewan bagi sesi bergambar kenang-kenangan.