Bengkel Pengurusan Organisasi Jawatankuasa Surau

KPO Surau 12112016

Sejajar dengan pelantikan Majlis Kolej Kediaman yang baru, Jawatankuasa Surau Kolej Kediaman (JSKK) juga telah dihembuskan nafas lebih segar dengan penyertaan ahli baru bagi sesi akademik 2016/2017.

Peranan yang dimainkan oleh JSKK amatlah penting dan menjadi penggerak kepada pemantapan islamiah di kolej kediaman sepertimana yang telah dibuktikan oleh JSKK sebelumnya dengan penganjuran pelbagai aktiviti yang menghidupkan surau-surau di kolej kediaman.

Sehubungan dengan itu bagi memantapkan lagi pengurusan ahli JSKK yang baru dilantik, pejabat kolej kediaman dengan bantuan felo telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Organisasi Jawatankuasa Surau Kolej Kediaman Sesi Akademik 2016/217 bertempat di Dewan Ibnu Khaldun.

Kursus yang pertama kali dianjurkan khusus kepada JSKK ini bertujuan untuk memberi pendedahan tentang pengurusan sesebuah organisasi dan kaedah merancang serta melaksanakan aktiviti.

Seramai 30 orang ahli JSKK dari enam buah surau kolej kediaman telah menghadiri kursus sehari ini yang telah dijalankan pada hari sabtu, 12 November 2016.

Aspek penyediaan kertas kerja, laporan aktiviti dan protokol telah mengisi tiga slot ceramah yang telah disampaikan oleh penceramah berwibawa dari Pejabat Naib Canselor UniSZA dan Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA.

Ketua felo kolej kediaman UniSZA, Dr. Zulazhan Ab. Halim dalam ucapan perasmian penutup telah meletakkan harapan yang tinggi kepada JSKK untuk merencanakan aktiviti-aktiviti di surau yang memberi manfaat kepada semua warga UniSZA dan para pelajar amnya.

Selain itu, beliau juga mengharapkan agar JSKK menyimpul ikatan yang lebih rapat dengan pengurusan kolej kediaman bagi memudahkan segala perancangan aktiviti dan program demi manfaat bersama.

Cetak