PROGRAM ZIARAH ILMIAH BRUNEI - MALAYSIA (UniSZA X UNISSA)

Kuala Nerus, 13 Mac 2024 - Majlis Kolej Kediaman (MKK) UniSZA dengan berbesar hati telah menyambut kedatangan delegasi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei yang diketuai oleh Auza'ie Rusydi selaku Exco Kolej Kediaman Siswa, Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA pada Khamis 29 Februari 2024.

Program Ziarah Ilmiah Brunei-Malaysia (UniSZA X UNISSA) ini diadakan sempena menyambut baik kerjasama antara Unit Kolej Kediaman Siswa Siswi (UKKSASI) UNISSA dengan MKK UniSZA.

Seramai tujuh orang pelajar dan seorang pengiring dari UNISSA Brunei telah berkampung di UniSZA selama tiga hari dua malam bagi tujuan pembelajaran dan lawatan ilmiah.

Ziarah ini bertujuan memberi peluang kepada perwakilan kolej kediaman dari kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai perihal kolej kediaman demi menambahbaik pengalaman dan usaha menjadikan kolej kediaman lebih aktif dan kondusif bagi semua penghuni.

Majlis perasmian program telah dilakukan Dr. W. Omar Ali Saifuddin Bin Wan Ismail, Pengarah Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar bertempat di Dewan Ibnu Khaldun.

Tuan Haji Mohammad Khairul Rijal Bin Begawan Mudin Haji Sapar, Pengurus Kolej Kediaman Siswa UNISSA selaku pengiring mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MKK UniSZA di atas kesudian menjadi tuan rumah bagi program ini.

Program ini diharapkan menjadi batu loncatan bagi kedua-dua pihak bagi mengukuhkan kesefahaman dan semoga kerjasama ini terus dieratkan dengan kolaborasi program pada masa hadapan.

Print