Rushdone Menjuarai Festival Nasyid UniSZA (FENAS) 2023

Kuala Nerus, - Persembahan penuh penghayatan dan bertenaga menyaksikan Kumpulan Rushdone dinobatkan sebagai juara Festival Nasyid (FENAS) UniSZA 2023, sekaligus menewaskan empat pasukan yang lain yang berentap di peringkat akhir.

Mempertaruhkan lagu Iman Mutiara dan Bukti Kasih,Rushdone yang dianggotai oleh lima orang pelajar telah  membawa pulang wang tunai sebanyak RM 1000, trofi dan sijil..

Naib Juara menjadi milik Al-Waqqas manakala Voice of Mumtaz yang menduduki tempat ketiga membawa pulang satu lagi anugerah apabila dinobatkan sebagai Kumpulan Paling Popular

Tempat ke empat dan ke lima menjadi milik Arjuna Voice dan Lughah Voice. Kesemua kumpulan ini membawa pulang wang tunai, trofi berserta sijil.

   

Pengarah Program, Muhammad Nurul Salihin Mazni Fairuz berkata, tujuan FENAS diadakan adalah untuk mempertingkatkan, memperkembangkan serta mempopularkan lagu seni nasyid sebagai satu budaya masyarakat Islam yang berunsur keagamaan untuk dakwah dan pembangunan

“Selain itu, FENAS diadakan untuk menarik minat masyarakat terutamanya generasi baru terhadap kesenian lagu nasyid dan menggalakkan mereka menghayatinya dalam kehidupan harian”

“Kita juga mahu mengembangkan lagi seni nasyid dalam kalangan masyarakat sebagai alternatif dalam usaha untuk memperbanyakkan lagi seni budaya muzik yang bermutu di negara ini”, katanya

Katanya lagi, FENAS dapat mencetuskan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memainkan peranan lebih positif dalam pembangunan negara dan penerapan nilai nilai lagu yang bermutu dan gaya penyampaian yang efektif.

Terdahulu, sebanyak 10 pasukan telah berentap di peringkat saringan dan lima kumpulan terbaik telah dipilih untuk ke peringkat akhir yang berlangsung pada 18 November 2023 bertempat di Dewan Perdana, UniSZA Kampus Gong Badak.

Cetak