Kursus Pemantapan Felo Kolej Kediaman 2019

SETIU, 10 Oktober - Seramai 18 orang Felo dari Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut telah mengikuti Kursus Pemantapan Felo Kolej Kediaman selama dua hari bermula dari 1 hingga 2 Oktober bertempat di UniSZA 1M4U Outreach Kem Merang, Setiu.

Kursus anjuran Pejabat Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar adalah kali pertama dianjurkan pada tahun ini dengan matlamat untuk memantapkan dan memperkasakan lagi peranan serta fungsi felo sedia ada.

Sebanyak tiga slot ceramah telah dimasukkan dalam tentatif program di mana slot pertama mengetengahkan tajuk Rawatan Kecemasan yang disampaikan oleh Ketua Kesihatan Pelajar, Dr. Wan Mohd Razin Wab Hassan.

Slot kedua bertajuk Peranan dan Fungsi Felo Kolej Kediaman telah disampaikan oleh Pengetua Kolej Siswa Universiti Malaysia Terengganu, Dr Nik Aziz Nik Ali manakala slot ceramah yang ketiga membincangkan perihal Rawatan Islam yang dikendalikan sendiri oleh Ketua Felo, Ustaz Zulkeefli Awang.

Pada hari kedua kursus, barisan felo telah membentangkan 40 perancangan program yang akan dilaksanakan hingga ke penghujung tahun 2019 di mana sebahagian daripada program ini tidak melibatkan kos kewangan.

Pengarah Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd Shafiee Hamzah dalam ucapan perasmian penutup kursus menyarankan agar kursus seperti ini diadakan secara berkala kerana melalui percambahan idea dan pendapat antara felo dapat memantapkan lagi institusi kefeloan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelajar.

Cetak