Pelancaran Program Liqa' Usrah Kolej Kediaman Meriah

  

KUALA NERUS, 13 Oktober - Seramai 2277 pelajar berhimpun di Dewan Al Muktafi Billah Shah pada 30 September baru-baru ini  bagi bersama-sama memeriahkan Program Pelancaran Liqa' Usrah Kolej Kediaman 2019.

Dirasmikan oleh Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, program ini  ternyata berjaya menarik kehadiran penghuni kolej kediaman Kampus Gong Badak yang dilihat mula memenuhi ruang di Dewan Al Muktafi Billah Shah dan Dewan Perdana sejak jam 6 petang.

Atucara program anjuran Majlis Kolej Kediaman ini dimulakan dengan solat maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan sesi tazkirah maghrib yang diadakan serentak dia dua buah dewan.

Pengarah Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd Shafiee Hamzah menyampaikan tazkirah kepada pelajar yang berhimpun di Dewan Al Muktafi Bilah Shah manakala Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Zulazhan Ab. Halim mengendalikan sesi tazkirah di Dewan Perdana.

Acara kemuncak program telah disempurnakan usai solat isyak berjemaah di mana semua pelajar telah berhimpun di Dewan Al Muktafi Billah Shah bagi menyaksikan upacara pelancaran oleh Naib Canselor UniSZA.

Penganjuran program ini dengan objektif untuk membentuk pelajar yang mampu untuk menghurai, memberi contoh dan mengaplikasi pengertian dan konsep sebenar liqa’, membentuk interaksi dan ukhwah dalam kalangan pelajar melalui perbincangan dan huraian tajuk melalui proses taaruf.

      

Pengarah Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar dalam ucapan alu-aluan menyeru kepada semua penghuni kolej kediaman yang beragama islam untuk sentiasa mengimarahkan surau dan masjid.

Menurut beliau lagi, kolej kediaman telah menyediakan sebanyak tiga buah surau dengan sebuah surau lagi dalam perancangan namun bilangan penghuni yang datang untuk menunaikan solat dan menghadiri program yang dianjurkan belum mencapai tahap memuaskan.

Kepentingan menjaga kesihatan dan aktif melibatkan diri dengan aktivti sukan dan riadah merupakan perkara yang ditekankan oleh Naib Canselor UniSZA dalam ucapan perasmian program.

Disamping itu, beliau turut menyeru kepada pelajar samada yang normal mahupun yang tergolong di dalam kategori orang kelainan upaya untuk sama-sama berusaha menjadi mahasisiwa yang terbaik di dalam akademik mahupun kokurikulum.

      

Cetak