Delegasi Kepimpinan Majlis Kolej Kediaman Ke Utara

Delegasi Ke Utara 05Selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Mac 2018, seramai 45 orang ahli Majlis Kolej Kediaman (MKK) UniSZA berkampung di utara tanah air bagi menjayakan program Delegasi Kepimpinan Kolej Kediaman UniSZA bersama USM, UniMAP dan UUM.

Pengarah Program yang juga merupakan Presiden Majlis Kolej Kediaman UniSZA, Mohd Aswan Mohd Amin berkata, objektif program ini adalah untuk memberikan ilmu dan manfaat baharu kepada barisan MKK dalam berkongsi idea dan pendapat dengan kepimpinan kolej kediaman universiti awam yang telah dipilih.

Lawatan ini juga bertujuan untuk memberi latihan kepada barisan MKK agar lebih mahir dalam menguruskan program berbentuk ilmiah mahupun berkonsepkan kebajikan, sukarelawan dan kemanusiaan kepada masyarakat.

Beliau memberitahu, antara perkongsian maklumat dari aspek kebajikan dan keselamatan yang boleh diaplikasikan di kolej kediaman adalah penggunaan dua tombol kunci di setiap pintu bilik. Ini bertujuan untuk menggelakkan terjadinya kes kecurian serta penumpang haram di mana pihak pengurusan kolej kediaman akan mengunci pintu bilik pelajar setiap kali cuti semester.

"Satu lagi perkongsian menarik adalah penggunaan sistem khusus untuk pelajar membuat kertas kerja di mana pelajar hanya perlu mengisi maklumat-maklumat yang diperlukan untuk memaklumkan kepada pihak terbabit mengenai program yang  ingin dilaksanakan. Sistem ini dapat menjimatkan penggunaan kertas seiring dengan seruan kempen 'Bumi Hijau' oleh kerajaan."

Disertai oleh Felo Kolej Kediaman, Rokiah Zainuddin selaku pegawai pengiring, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi destinasi pertama yang dituju pada 19 Mac sebelum bergerak ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada sebelah petang.

Hari terakhir lawatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi universiti terakhir yang dilawati bagi menyambung sesi percambahan dan perkongsian idea sepertimana yang dilakukan pada hari sebelumnya.

Program lawatan ini berupaya membuka minda barisan kepimpinan MKK untuk menjana idea dan pemikiran yang baharu demi melestarikan dan menjaga kebajikan mahasiswa yang berada di kolej kediaman.

Delegasi Ke Utara 01

Print