Banner Website 2017

Perasmian Kolej Kediaman Taman Ilmu

Kolej Kediaman Taman Ilmu

Taman Ilmu seluas 303.25 hektar yang merupakan pusat bersepadu perkongsian kemudahan pendidikan asas institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri Terengganu mula beroperasi sejurus dirasmikan semalam, 5 September 2017.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mula memasuki kawasan yang terbiar sekian lama dan terdedah kepada kerosakan, dengan menjadikan dua blok asrama di Taman Ilmu sebagai kolej kediaman pelajar yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Kerajaan negeri telah memberi keistimewaan kepada UniSZA untuk mengguna pakai kemudahan dua blok tersebut dengan pengecualian bayaran sewa bangunan selama 10 tahun.

Kolej Kediaman Taman Ilmu merupakan kolej kediaman ke tujuh yang dibuka dan bakal dihuni oleh pelajar dari Kampus Besut yang mempunyai dua fakulti iaitu Fakulti Informatik dan Komputeran serta Fakulti Biosumber dan Industri Makanan.

Seramai 240 orang pelajar lelaki peringkat ijazah yang baru mendaftar akan mula menghuni kolej kediaman berkenaan pada 9 September 2017, sejurus berakhirnya Minggu Mesra Siswa (MMS).

Kolej Kediaman Taman Ilmu 2Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohamad Nur; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Emiritus Dato' Dr. Kamarudin Husin dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar; Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dato' Dr Mortaza Mohamad; Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof Dato Mohd Rizon Juhari dan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Ir. Dr. Hanisah Tapsir.