Berzikir Tanda Mengingati Allah

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (١٢٤) قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا (١٢٥)

قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى (١٢٦)

Allah berfirman di dalam Surah Taha ayat 124-126: Dan sesiapa yang berpaling daripada mengingati-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. Lalu dia bertanya, Wahai Tuhanku? Mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta sedangkan aku dahulu (di alam dunia) celik? Allah menjawab (dengan firman-Nya), telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.

Rasulullah s.a.w. berpesan kepada umatnya agar sentiasa membasahkan lidah dengan berzikir kepada Allah. Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Bisyr bahawa seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syariat Islam telah banyak ke atasku sedangkan aku seorang yang telah lanjut usia. Oleh itu beritahulah kepadaku sesuatu yang dapat aku jadikannya pegangan. Jawab Rasulullah, Jadikanlah lidah engkau sentiasa basah dengan berzikir.

Tazkirah 20170817

Berikut merupakan intipati sesi tazkirah mingguan yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Dr. Zulazhan Ab. Halim kepada kakitangan kolej kediaman. Bertempat di Surau Thoriq pada 17 Julai 2017, majlis dimulakan dengan merungkai erti kata tazkirah yang membawa maksud 'memberi peringatan', supaya semua yang berada dalam majlis ilmu itu akan mendapat manfaat serta keberkatan dari intipati tazkirah yang disampaikan.

Banyak fadilat atau kelebihan berzikir yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis baginda. Antaranya baginda menyifatkan majlis zikir itu umpama taman syurga. Sabdanya bermaksud: Apabila kamu melintasi taman syurga hendaklah kamu berhenti singgah. Maka bertanya para sahabat, Apa itu taman syurga?'' Jawab baginda, ''Majlis zikir.'' (Riwayat at-Tirmizi).

Berzikir adalah antara amalan yang dapat menghidupkan hati, memberikan ketenangan rohani dan mengundang rahmat Allah. Banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menceritakan kepentingan berzikir dan kesannya kepada ketenteraman jiwa.

Berzikir bermaksud mengingati Allah. Ini termasuk berzikir melalui hati, lidah dan seluruh anggota badan. Apa sahaja perbuatan atau gerak laku yang membolehkan kita mengingati-Nya serta mendapat keredhaan-Nya, maka itu sudah termasuk dalam erti kata berzikir dalam pengertian yang sebenar-benarnya.

Print