Banner Website 2017

Mahabit Kasih Mahasiswa Bersama Komuniti

mahabit 11

Satu program komuniti yang diberi nama “Mahabit Kasih Mahasiswa Bersama Komuniti” telah dianjurkan oleh pihak Majlis Kolej Kediaman A pada 17 Jun 2017 bertempat di Kampung Bukit Petiti Dalam, Manir..

Program yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Petiti Dalam telah dijalankan bagi memeriahkan lagi bulan ramadhan serta mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti.

Program selama sehari ini dimulakan seawal jam 9.00 pagi dengan satu majlis perasmian yang turut dihadiri oleh kakitangan dan felo kolej kediaman dan telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Manir, Mazlan Ismail.

Sejurus perasmian peserta telah dipecahkan kepada tiga kumpulan iaitu Unit Kebajikan, Unit Kesihatan dan Unit Pendidikan. Setiap unit mempunyai skop tugas masing-masing dimana Unit Kebajikan dipertanggungjawabkan untuk memberi sumbangan makanan kepada 20 keluarga terpilih yang terdiri daripada fakir miskin dan ibu tunggal.

mahabit 4Unit Kesihatan pula menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat setempat manakala Unit Pendidikan ditugaskan untuk mengajar kanak-kanak tadika membaca al-quran dengan betul..

Selepas waktu zohor, peserta bersama-sama penduduk kampung telah bergotong royong menyiapkan bubur lambuk dan ini merupakan pengalaman menarik bagi peserta yang datang dari luar Terengganu. Sebanyak dua kawah bubur lambuk telah dimasak dan diagihkan kepada penduduk kampung selepas asar.

Program sehari suntuk ini diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat terawih berjemaah bersama penduduk kampung.

Pengarah Program, Nur Azla Aziera A’Ala memaklumkan, ramai dari kalangan peserta merasakan bertuah dapat turut serta di dalam program ini kerana dapat berkenalan dengan penduduk kampung yang sangat baik dan ramah melayan mereka sepanjang program.

“Program telah membentuk kesepaduan dan mengeratkan ukhwah antara mahasiswa dan masyarakat setempat.”

Tambahnya lagi, “Program ini memberi dorongan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi setelah menilai aktiviti yang berfaedah yang telah disediakan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).”

mahabit 3 mahabit 12 mahabit 8