Ziarah Perihatin : Membantu Pesakit Mengerjakan Ibadah

ziarah prihatin 00

Seramai 32 orang pelajar dan 2 orang pegawai Universiti Sultan Zainal Abidin telah menjayakan program Ziarah Prihatin bertempat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada 24 Mac 2017.

Program ini telah dianjurkan oleh Majlis Kolej Kediaman (MKK) A Kampus Gong Badak dengan kerjasama Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) UniSZA dan pihak HSNZ.

Tujuan utama program ini diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran kepada mahasiswa tentang peranan mahasiswa terhadap masyarakat luar yang memerlukan sokongan dan bantuan supaya menjadi mahasiswa yang holistik dan sebagai masyarakat yang prihatin.

Pengarah Program,Nur Aainaa Abu Zaki, berkata program ini merupakan tanggungjawab sosial mahasiswa dalam mendekati dan membantu pesakit di wad hospital. Tambahnya lagi, dari sudut psikologi menziarahi pesakit boleh memberi sinar harapan, keceriaan dan mungkin dapat menyuntik semangat mereka untuk kembali sembuh.

Antara aktiviti yang di lakukan adalah berkongsi dengan pesakit berkaitan dengan kemudahan solat bagi pesakit serta menyampaikan cenderhati berupa kurma, buku doa harian serta zikir-zikir harian.

ziarah prihatin 02Sementara itu, salah seorang peserta, Muhamad Ikram Redzuan berkata, program ini telah memberi satu pengalaman amat berguna kepadanya dan perlu dijadikan sebagai program tahunan.

“Apa yang kami lakukan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit rasa sakit dan melegakan dengan menziarahi mereka walaupun tiada talian persaudaraan dan siapa tahu satu hari nanti kita pula yang menjadi pesakit”.

Program murni ini mencetuskan respon yang positif dari pihak HSNZ. Penyelia Jururawat, Puan Fauziah telah menghamburkan pujian kepada peserta program kerana bersama-sama membantu mereka menjayakan konsep "Wad Mesra Ibadah" yang telah dilaksanakan di hospital seluruh negara.

Cetak