Pencegahan Nyamuk Aedes Di Kampus Perubatan

foggingDemam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya dan menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian di kebanyakan negara hari ini.

Berpegang kepada pepatah mencegah lebih baik dari mengubati, Pejabat Kolej Kediaman dengan kerjasama Pusat Kesihatan UniSZA telah mengambil inisiatif melakukan aktiviti semburan kabus (fogging) di Kolej Kediaman Kampus Perubatan pada 20 Februari 2017.

Aktiviti fogging dilakukan bertujuan untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk bagi membendung kes demam denggi atau penyakit berjangkit di kalangan penghuni kolej kediaman.

Di samping itu, pihak kolej kediaman telah memberi peringatan kepada semua penghuni supaya sentiasa menjaga kebersihan tempat tinggal mereka bagi mengelakkan wujudnya tempat pembiakan nyamuk.

Bertunjangkan daripada kesedaran semua pihak, negeri Terengganu telah berjaya merekodkan 60 hari bebas denggi sejak kes terakhir direkodkan pada 19 Disember 2016.

Memetik kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohammad Omar dalam satu artikel akhbar tempatan, kejayaan itu terhasil dengan adanya usaha berterusan daripada pelbagai pihak termasuk kesedaran masyarakat.

“Tahun lalu Terengganu merekodkan kes denggi sangat serius dengan 20 kes kematian. Kebimbangan kita berterusan terutama pada musim tengkujuh penghujung tahun lalu kerana dalam musim banjir, pembiakan aedes menjadi lebih aktif. Bagaimanapun, berdasarkan data kita peroleh jelas memperlihatkan penurunan ketara kes denggi dan diharap trend ini berterusan,” katanya.

 

Cetak