Berita

UniSZA Anjur IECC 2019 untuk Kerjaya Graduan

DSC 8370Kuala Nerus - Seramai 40 pempamir dari agensi kerajaan dan swasta menyertai Karnival Industri, Keusahawanan dan Kerjaya UniSZA (IECC UniSZA 2019) di UniSZA kampus Gong Badak selama dua hari, bermula hari ini.

IECC 2019 ini adalah inisiatif UniSZA untuk mempersiapkan bakal graduannya dengan kemahiran-kemahiran untuk  bekerjaya, berinteraksi dengan bakal majikan kerajaan dan swasta serta terlibat dalam bidang keusahawanan  selepas tamat pengajian di Universiti.

IECC juga bertujuan mendedahkan kepada mahasiswa  pengetahuan  kerjaya dan keusahawanan untuk melahirkan mahasiswa UniSZA yang berkualiti holistik, dilengkapi dengan skill  kesediaan berkerjaya dan keusahawanan, serta   peka kepada keperluan pasaran pekerjaan.
 
Selain itu, karnival ini dapat membantu masyarakat setempat dalam menambah pengetahuan tentang profil bakal pekerja yang dihajati oleh majikan di samping untuk mendapatkan pekerjaan melalui   pameran kerjaya dan industri serta temu duga terbuka oleh pempamir yang terlibat.

IECC 2019 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawan, YB Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md. Ramli.

DSC 8355 DSC 8394 DSC 8496

Print Email

UniSZA Sambut Sedekad Fakulti Perubatan

sedekad1Kuala Terengganu : Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyambut ulangtahun ke-10, hari ini dan merupakan fakulti perubatan ke-10  Universiti Awam (UA) di Malaysia.

Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Nordin Simbak, berkata program yang bertemakan “Menjejak Masa, Menggapai Kecemerlangan” itu diadakan bagi memberi kesedaran tentang kepentingan kesihatan kepada masyarakat.

“Ini adalah selari dengan peningkatan yang membimbangkan dalam kes kesihatan seperti diabetes, penyakit jantung dan gejala penyalahgunaan dadah”

“Program ini diharap dapat menyedarkan masyarakat bahawa kesihatan yang baik adalah jaminan untuk hidup sejahtera,” katanya pada majlis perasmian Sambutan Sedekad Fakulti Perubatan UniSZA 2019,di Kampus Perubatan.

Program selama tiga hari itu turut disertai komuniti luar bagi membekalkan pengalaman baharu kepada pelajar dan gambaran sebenar kehidupan di luar yang lebih mencabar sebagai persediaan sebelum tamat pengajian.

Dr. Nordin berkata, pelajar kini perlu bersedia dengan pelbagai kemahiran ‘soft-skill’ bagi menyiapkan diri kea rah cabaran alam pekerjaan di Revolusi industri ke-4 yang kian mencabar.

Fakulti Perubatan bermula dengan nama Fakulti Sains Kesihatan pada tahun 2007 setelah diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Fakulti Perubatan memulakan pengambilan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) yang pertama pada 2009 setelah mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Tinggi dengan jumlah pelajar seramai 30 orang.

Kini, kemasukan pelajar di Fakulti Perubatan di UniSZA meningkat sehingga 90 pelajar bagi setiap kali sesi pengambilan.

sedekad2

Print Email

Seminar “Updates on Bibliometrics & Issues in Human Research Ethics”

2611Jawatankuasa Etika Penyelidikan Manusia UniSZA (UHREC), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dengan kerjasama Pejabat Pengarah Kampus Besut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan Seminar “Updates on Bibliometrics & Issues in Human Research Ethics” pada 20 November 2019 (Rabu). Seminar ini telah berlangsung pada jam 9.30 pagi bertempat di Auditoriun Fakulti Informatik & Komputeran (FIK), UniSZA, Kampus Besut.

Turut hadir Ketua Bahagian  Perkhidmatan Akademik, Pejabat Pengarah Kampus Besut, Yang Berusaha Dr. Nadzifah binti Yaakub, kakitangan akademik dan pelajar pascasiswazah UniSZA serta kakitangan akademik dan pelajar daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Kelantan. Penceramah bagi seminar ini ialah Yang Berusaha Prof. Dr. Nyi Nyi Naing@Syed Hatim Noor, Pengerusi Jawatankuasa Etika Penyelidikan Manusia UniSZA (UHREC) dan turut dibantu oleh Yang Berusaha Dr. Wan Arfah Nadiah binti Wan Abdul Jamil penyarah Fakulti Sains Kesihatan (FSK) merangkap Sekretariat UHREC.

Penganjuran seminar ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan kepentingan mengetahui kaedah bibliometrik dan hubungkait dengan bidang kepakaran agar dapat di manfaatkan dalam bidang akademik. Selain itu juga, pelaksanaan seminar ini adalah sebahagian daripada inisiatif UHREC UniSZA untuk meningkatkan kualiti penyelidikan melalui pendedahan berkenaan garis panduan etika penyelidikan melibatkan manusia kepada pada peserta.

 Pengisian seminar terbahagi kepada tiga sesi. Sesi pertama berkenaan “Updates on Bibliometrics” diikuti dengan sesi kedua iaitu “Do’s and Don’ts in Obtaining Accurate Metrics” dan yang terakhir berkaitan “Issues in Human Research Ethics”. Pihak penganjur memaklumkan bahawa penganjuran seminar ini akan dijalankan secara berkala pada setiap tahun di Kampus Gong Badak, Kampus Besut dan Kampus Perubatan agar pengetahuan berkenaan perkara ini dapat disampaikan secara berterusan kepada semua kakitangan akademik dan pelajar dalam dan luar UniSZA dari semasa ke semasa.

Print Email

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Dan Bicara Industri FRIT

frit3Kuala Nerus - 20 November 2019, Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) telah mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dan Bicara Industri bertempat di Dewan Auditorium, Perpustakaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Hassan Basri Bin Awang Mat Dahan, Naib Canselor, UniSZA. Majlis menandatangani MoU telah dijalinkan bersama tiga (3) buah industri iaitu Sumai Engineering (M) Sdn. Bhd., Mextec Corporation dan iCreate Sdn. Bhd.

Tujuan kerjasama ini adalah untuk menyahut keperluan Pelan Tindakan Akademik (PTA) fakulti dan bukan itu sahaja malah memberi peluang kepada warga fakulti untuk berkongsi kepakaran dan teknologi terkini dengan pihak industri. Industri-industri yang dipilih ini merupakan industri yang telah lama menjalinkan kerjasama dengan pihak fakulti dengan menyediakan tempat latihan pratikal untuk pelajar-pelajar FRIT.

Manakala Program Bicara Industri telah disampaikan oleh Adiguru Norhaiza Nordin (Tokoh Kraf Negara) selaku Prof. Adjung, FRIT dan En. William Lee, Pengarah Urusan daripada iCreate Sdn. Bhd. Program tersebut telah dihadiri oleh para pelajar daripada Program Pengajian Reka Bentuk dan Teknologi. Diharapkan kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada semua warga universiti amnya dan fakulti khususnya serta dapat merealisasikan pendidikan ke arah ’Educational I.R. 4.0’.

frit1

Print Email

UniSZA lancar Kelab Siswa Istimewa

WhatsApp Image 2019 11 20 at 11.28.481Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melancarkan penubuhan Kelab Siswa Istimewa (KSI) demi menjaga kebajikan dan memastikan mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) agar  mengikuti pengajian dengan selamat dan selesa.


KSI dilancarkan susulan penubuhan Unit Perkhidmatan OKU UniSZA pada 1 Oktober lepas yang bernaung di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) sebagai antara inisiatif universiti dalam memberi khidmat sokongan khusus kepada mahasiswa OKU.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penubuhan kelab itu juga selaras hasrat Kementerian Pendidikan yang mahu semua universiti di negara ini melaksanakan Dasar Inklusif OKU.

"Apa yang menyentuh hati saya apabila melihat kegigihan mahasiswa ini yang sangat komited dengan pengajian di universiti, sentiasa mempunyai idea dan inisiatif sendiri serta bukanlah dari jenis golongan yang suka menagih simpati atau sentiasa mengharapkan bantuan orang lain.

"Mereka sangat berdikari sama seperti mahasiswa normal yang lain, jadi UniSZA akan terus menyokong mereka agar mampu terlibat dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa seterusnya menghapuskan persepsi negatif masyarakat terhadap golongan OKU selama ini," katanya pada majlis Anugerah Tokoh Siswa UniSZA 2019 dan Pelancaran Unit Perkhidmatan OKU serta Kelab Mahasiswa Istimewa UniSZA, semalam.

Beliau berharap agar KSI menjadi penghubung untuk pastikan hak selayaknya pelajar OKU disampaikan terus kepada pengurusan universiti.

“Ini adalah satu usaha yang lebih berkesan untuk memastikan penglibatan mahasiswa OKU secara inklusif dalam semua aktivit dan program di dalam dan luar kampus”, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab OKU UniSZA, Muhammad Aliff Zainuddin, berkata penubuhan kelab itu akan memudahkan hasrat dan hak kesemua 46 mahasiswa OKU di universiti itu ketika ini disampaikan secara terus kepada pihak pengurusan universiti.


"Kami akan bersama-sama mewujudkan satu persekitaran inklusif agar UniSZA akan terus menjadi universiti yang mesra OKU dan memberi impak positif kepada jati diri mahasiswa serta imej UniSZA itu sendiri.

"Ketika ini, kami telah merancang pelbagai program di peringkat antarabangsa dan komuniti setempat dan buat permulaan, kami akan mengadakan program Umrah serta kunjungan ke Turki yang melibatkan 25 mahasiswa pada Mac depan," katanya.

WhatsApp Image 2019 11 20 at 11.28.48 WhatsApp Image 2019 11 20 at 11.28.47

Print Email