Berita

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERJANJIAN (MOA) ANTARA UniSZA & UCB

UCB1AHAD, 14 OKTOBER 2018: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Pejabat Pengarah Kampus Besut telah mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan University College Bestari (UCB) bertempat di Fakulti Biosumber & Industri Makanan (FBIM).

Majlis ini adalah satu platform perkongsian kepakaran yang dapat mempertingkatkan lagi kualiti akademik bagi kedua-dua pihak. Seramai hampir 20 wakil yang terdiri daripada ahli-ahli pengurusan tertinggi dan kakitangan sokongan serta 40 pelajar dari UCB hadir memeriahkan acara. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UniSZA, Prof. Dr. Mahadzirah binti Mohamad, Pengarah Kampus Besut, Prof. Dr. Mohd Nordin bin Abdul Rahman berserta ahli-ahli pengurusan tertinggi dan kakitangan sokongan UniSZA.

Naib Canselor UCB, Prof. Dr. Sakri bin Ibrahim dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr. Zubaidi bin A. Latif telah menandatangani dokumen perjanjian pada jam 10.00 pagi. Acara tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, YM Prof. Dato Dr. Haji Tengku Mahmud bin Mansor.

Setelah acara menandatangani dokumen perjanjian selesai, pihak pengurusan UCB menyerahkan tabung waqaf PEYATIM kepada UniSZA. Setelah itu, dif-dif jemputan mengadakan lawatan ke beberapa makmal pemprosesan makanan di FBIM.

Para jemputan turut melawat tapak-tapak pameran produk makanan yang melibatkan pelajar FBIM dan UCB di pekarangan kaki lima utama FBIM dan seterusnya bersurai pada jam 11.30 pagi.

UCB2 UCB3 UCB4 UCB5

Print Email

UniSZA Juara Sayembara Pantun Piala Nusantara 2018

pantun3Kuala Nerus – Penantian lima tahun pasukan pantun Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berakhir selepas mereka dinobatkan sebagai juara Sayembara Pantun Piala Nusantara 2018 (SAPPNA 2018) Pada pertandingan akhir, pasukan terbabit yang diwakili Muhammad Wan Faizal Che Juhari,23, Mohammad Aimi Rajli, 24, Muhammad Aizuddin Harif, 21 dan Mohammad Saifullah Mazlan, 21 menewaskan pasukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Faizal Mithali ketika ditemui berkata, beliau dan ahli pasukan lain begitu gembira dan besyukur atas kemenangan tersebut kerana sudah lama menanti untuk begelar juara “Alhamdulillah, usaha dan penat lelah serta persiapan rapi kami berempat selama ini terbalas dengan kemenangan yang diterima pada malam ini”. “Persiapan selama tiga minggu telah dilakukan bersama ahli pasukan dengan membuat kajian pantun lama sebagai usaha menghasilkan idea sepanjang pertandingan”, katanya ketika ditemui.

UniSZA turut memenangi anugerah Busana Terbaik kategori IPT, manakala Mohd Syazreen Bahenuddin dari pasukan UiTM A dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik kategori IPT. Johan pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200, piala iringan dan sijil penyertaan, tempat kedua menerima RM 800, piala iringan dan sijil penyertaan sementara tempat ketiga, pasukan UiTM B mendapat RM 300, piala iringan dan sijil penyertaan. Bagi kategori sekolah pula, SMKA Kuala Selangor dinobatkan sebagai juara, manakala SMK Tun Habab meraih naib juara dan tempat ketiga menjadi milik SBPI Kubang Pasu.

Pertandingan akhir tersebut telah diadakan di Dewan Perdana UniSZA dan dirasmikan oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif. Pertandingan anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UniSZA yang berlangsung selama empat hari itu disertai 16 pasukan dari IPT termasuk Thailand dan Indonesia serta 8 pasukan dari sekolah.

pantun2 pantun1

Print Email

MINGGU PERPUSTAKAAN UniSZA SEMAI CINTA PERPUSTAKAAN DALAM HATI PELAJAR

Pustaka2Kuala Nerus – Perpustakaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meneruskan program berfaedah setiap tahun iaitu Minggu Perpustakaan UniSZA

Bertemakan “Sayangi Perpustakaanku, I Love My Library, uhibbu maktabati احب مكتبتي  ”, program itu berlangsung selama lima hari bermula 28 Oktober hingga 1 November.

Ketua Pustakawan, Rohani Othman, berkata Minggu Perpustakaan UniSZA adalahj aktiviti wajib setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan sama ada berbentuk akademik mahupun santai.

“Tujuan program ini adalah untuk menyemarakkan kepelbagaian aktiviti perpustakaan kepada warga universiti serta memperkenalkan perkhidmatan Perpustakaan serta menonjolkan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan.

“Kami harap ia dapat menonjolkan dan menguar-uarkan kepelbagaian fungsi perpustakaan dalam memberi perkhidmatan terbaik buat para pengguna untuk terus mengunjungi dan mengaplikasi perkhidmatan serta fasiliti Perpustakaan UniSZA”, katanya pada majlis perasmian Minggu Perpustakaan UniSZA berkenaan.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Pembangunan), Prof Ir. Dr. R Badlishah Ahmad.

Pada majlis itu, seramai 30 pelajar telah menerima komputer riba yang disumbangkan oleh Bank Simpanan Nasional, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat.

Menurut Rohani, Perpustakaan UniSZA turut menyediakan anugerah istimewa kepada pengguna iaitu Anugerah Peminjam Terbanyak untuk pensyarah dan pelajar, dan Anugerah Pengunjung Paling Aktif

“Anugerah ini diberikan sebagai tanda penghargaan Perpustakaan UniSZA kepada para pengguna yang aktif meminjam bahan serta kerap mengunjungi perpustakaan”, katanya.

Katanya lagi, pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya Derma Darah, Bedah Buku, Open Mic, Speakers’ Corner, PG’s Day, E-Resource Day, Grab Our Preloved, Pameran The Aesthetic of Songket Heritage, gerai Jualan, Minggu Diskaun Denda dan Jualan Al-Luqotoh.

Pustaka1

Print Email

WARGA UniSZA BENCI DADAH

Dadah1Kuala Nerus – Seramai 500 warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hadir di program Bila Diri Disayangi yang berlangsung di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dato Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif, berkata program itu diadakan bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada peserta tentang bahayanya penyalahgunaan dadah.

“Program ini juga menekankan elemen pengisian rohani dan jasmani ke arah menguatkan fizikal dan mental peserta dalam menempuh kehidupan kampus yang sentiasa penuh dengan cabaran”

“Peserta diberikan kesedaran penyalahgunaan dadah melalui 5 slot khas menyentuh mengenai kesan dadah dari sudut agama, kesihatan dan juga impak kepada individu dan keluarga”, katanya.

Pada program itu juga, Pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)  turut menjemput penagih tegar yang telah insaf melalui slot “Aku Kembali ke Pangkal Jalan” untuk memberikan perkongsian kepada peserta mengenai kesan buruk akibat dadah.

Menurut Dr Ahmad Zubaidi, program  telah diisi dengan pameran dari pihak AADK dan Penjara Marang yang memaparkan kesan buruk dadah dan hukuman yang diberikan kepada individu yang disabitkan kesalahan seperti hukuman gantung dan sebatan.

“Kami berharap agar program ini akan diadakan secara berkala untuk membendung warga UniSZA daripada terlibat dengan najis dadah”, katanya.  

Program itu merupaka anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA dan Pejabat Naib Canselor dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pejabat Pendaftar dan Fakulti-fakulti UniSZA.

Dadah2 Dadah3

Print Email

UniSZA MoU DENGAN TUGVA DAN 3 UNIVERSITI DI TURKI

Turki11Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Turkey Youth Foundation (TUGVA) dan tiga buah universiti di Turki.

Tiga universiti berkenaan ialah Istanbul Sabahattin Zaim University, Istanbul Sehir University dan Necmettin Erbakan University.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, tujuan MoU berkenaan adalah untuk memperluaskan rangkaian kerjasama antara universiti di Malaysia dan Turki.

“Ini adalah langkah yang proaktif bagi membincangkan bidang akademik, selain penyelidikan dan penerbitan”

"Kita berkongsi idea dan matlamat sama dalam membangunkan negara, yang mana melalui MoU ini kita akan memberi fokus mengenai pertukaran pelajar, pertukaran pensyarah dan perkongsian tenaga pakar”

"Pertukaran kepakaran dan pengalaman tenaga akademik dalam pelbagai bidang berkaitan akan memberikan idea baharu, sekali gus membangunkan UniSZA setanding universiti tempatan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, kerjasama itu secara tidak langsung akan menjadi komitmen yang tinggi kepada pihak pengurusan UniSZA dalam mempertingkatkan segala ilmu untuk pelajar," katanya.

UniSZA dalam satu kenyataan berkata majlis menandatangani MoU itu diadakan di Turki yang ditandatangani oleh Naib Canselor UniSZA dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Mohd Afandi semasa lawatannya ke negara itu.

Turki22 Turki33

Print Email