• Home
  • International
  • Terengganu at Glance

Terengganu Sepintas Lalu

Terengganu Darul Iman, sebuah negeri yang terletak di persisiran Pantai Timur Semenanjung Malaysia merupakan negeri yang kaya dan  terkenal dengan lanskap dan persekitaran alamnya yang indah dan menawan. Ia memiliki jaluran pantai berpasir putih yang terpanjang (225km) di Pantai Timur, kehijauan hutan hujan Khatulistiwa yang menyegarkan, lokasi-lokasi air terjun yang menarik serta pulau-pulau peranginan yang mengagumkan seperti Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah dan Pulau Perhentian. Kesemua anugerah alam ini menjadikan Terengganu sebuah destinasi pelancongan yang mengujakan.

 Negeri Terengganu juga dikenali dengan keunikan tradisi tempatannya, kaya dengan warisan dan budaya yang dipaparkan menerusi tenunan songket dan batik yang anggun. Keenakan makanan tradisional seperti keropok lekor dan nasi dagang jelas mendukung keaslian tradisi tempatan yang turut menjadi sebahagian daripada identiti Terengganu itu sendiri.

Pelbagai jenis penerbangan domestik harian (55 minit) ke bandaraya Kuala Terengganu merupakan salah satu daripada jaringan pengangkutan yang ditawarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) dan Lapangan Terbang Subang. Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula merupakan laluan darat utama yang menghubungkan Terengganu dengan semua bandar besar di Semenanjung Malaysia, termasuk Kuala Lumpur.

Suatu masa dahulu hanyalah sebuah perkampungan nelayan yang sepi, bandaraya Kuala Terengganu yang menjadi ibu negeri telah meniti perkembangan dan pemodenan yang amat pesat sejak 20 tahun yang lalu. Kini, ia adalah pusat kebudayaan dan pendidikan yang sibuk dan antara yang terpenting di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

     

Print Email