Prof. Dr. Yahaya Ibrahim, Naib Canselor baru UniSZA

KUALA TERENGGANU – Prof. Dr. Yahaya Ibrahim telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)  sebagai Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkuatkuasa pada 1 Januari 2013 hingga 31 Disember 2015. Pelantikan ini bagi menggantikan Dato’ Profesor Dr. Alias Daud yang tamat tempoh lantikan pada 31 Disember 2012 yang lalu.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Memetik laporan dari KPT, pemilihan beliau sebagai Naib Canselor UniSZA adalah berasaskan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPT dengan mengambil kira pengalaman akademik, penyelidikan serta pentadbirannya semasa bertugas di UMT disamping kepakaran beliau dalam bidang sains sosial dan pembangunan komuniti.

Prof. Dr. Yahaya Ibrahim dilahirkan pada 16 Mei 1962 dan merupakan anak jati Kuala Terengganu, Terengganu. Beliau telah dianugerahkan Bachelor in Urban and Regional Planning (Honours) dari Universiti Teknologi Malaysia, Master of Arts (Sociology) dari Universiti Malaya dan seterusnya PhD (Development Studies) dari Universiti Malaya.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Profesor dalam bidang pembangunan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan dijemput sebagai Profesor pelawat di Ritsumeikan University, Kyoto, Jepun.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di UMT, beliau telah berkhidmat sebagai CEO untuk syarikat UKM Pakarunding Sdn. Bhd.

Beliau juga turut terlibat dalam pelbagai aktiviti penyelidikan yang berkaitan dengan pembangunan sosial di Malaysia.

Warga UniSZA mengucapkan selamat datang kepada beliau dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud diatas segala bakti yang telah dicurahkan sepanjang meneraju UniSZA.

Print Email

[toggle mode only] jquery alih menu on mobile