• Utama
  • Berita
  • BANTUAN PELAN DATA KEPADA PELAJAR B40 UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN

BANTUAN PELAN DATA KEPADA PELAJAR B40 UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN

WhatsApp Image 2020-11-08 at 12.02.00 PM.jpeg     WhatsApp Image 2020-11-08 at 12.01.59 PM.jpeg     WhatsApp Image 2020-11-08 at 12.01.59 PM (1).jpeg     WhatsApp Image 2020-11-08 at 12.01.59 PM (2).jpeg

BANTUAN PELAN DATA KEPADA PELAJAR B40 UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN

 Kuala Nerus - Melalui pengumuman Penangguhan Pendaftaran Secara Fizikal atau Bersemuka Pelajar IPT oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad pada 2 Oktober 2020 lalu, KPT telah mencadangkan agar semua urusan pendaftaran pelajar dilaksanakan secara dalam talian.

Langkah ini diambil oleh KPT bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 berikutan kenaikan kes positif COVID-19 secara mendadak sejak akhir-akhir ini.

Justeru, dalam usaha meringankan beban pelajar untuk menanggung kos bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) secara dalam talian, UniSZA telah mengambil inisiatif dengan menyediakan Bantuan Pelan Data Internet Percuma kepada pelajar dalam kalangan B40.

Bantuan ini melibatkan dua fasa. Bantuan fasa pertama akan diagihkan kepada seramai 3,900 orang pelajar lama dan baharu dalam kalangan B40 melibatkan kos RM468,000.00 menggunakan peruntukan UniSZA.

Pelajar akan menerima simkad Celcom E-Learning dan UniSZA akan membiayai pelan ini selama 4 bulan. Pelajar boleh mula menggunakan pelan data tersebut bermula 8 November 2020.

Bagi Fasa Kedua pula, UniSZA telah bersetuju untuk memberi bantuan pembelian data internet kepada pelajar dalam bentuk tunai sebanyak RM120 setiap pelajar yang melibatkan kos sebanyak RM430,000.00 menggunakan peruntukan wang zakat oleh Tabung Haji.

Agihan bagi fasa kedua dijangka dapat dilakukan pada awal Januari 2021. Oleh itu, jumlah keseluruhan pelajar yang akan menerima bantuan pelan data daripada UniSZA adalah seramai 7,900 orang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM898,000.00.

Pelan pascabayar Celcom e-Learning 30 yang diterima oleh pelajar ditawarkan dengan 3G dan 4G/LTE kelajuan internet, akses tanpa had ke laman web dan 6 aplikasi terpilih iaitu Microsoft Teams, Zoom Meeting, Skype, Google Meet, CISCO Webex dan YouTube. Selain itu, para pelajar juga akan menikmati panggilan suara tanpa had dan 10GB kuota data bulanan.

Selain itu, UniSZA turut mengambil inisiatif dengan memberikan pinjaman pembelian komputer riba sebanyak RM1,500 bagi setiap pelajar. UniSZA memperuntukkan sebanyak 600 unit melibatkan perbelanjaan sebanyak RM900,000.

Diharap agar bantuan dan inisiatif yang ditawarkan ini dapat meringankan beban pelajar dan dapat dimanfaatkan sebaiknya.

 

PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT DAN PENGURUSAN PERHUBUNGAN

UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN

08 NOVEMBER 2020

Cetak E-mel