• Home
  • Berita
  • Nur Husna bersyukur terima Ijazah Aegrotat Sarjana Muda Dietetik

Nur Husna bersyukur terima Ijazah Aegrotat Sarjana Muda Dietetik

WhatsApp Image 2019 10 15 at 16.22.31 Kuala Nerus -  Penerima Ijazah Aegrotat, Nur Husna Md Lazim, 28, amat bersyukur kerana dapat menerima sendiri Ijazah Sarjana Muda Dietatik, walaupun dalam keadaan berkerusi roda.

Nur Husna ketika ditemui berkata, walaupun mempunyai kekurangan fizikal pada diri, dia tidak pernah patah semangat untuk meneruskan pelajaran demi ibu bapa.

"Pada 2009 saya telah mendapat tawaran biasiswa bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke Jepun dalam bidang farmasi, tetapi terpaksa ditolak kerana masalah kesihatan.

"Ketika belajar di UniSZA saya terpaksa menahan kesakitan memandu sendiri ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tiga kali seminggu untuk menjalani rawatan, memandangkan keluarga semuanya di Pulau Pinang," katanya yang memperoleh CGPA 3.37.

Nur Husna berkata kesihatannya semakin merosot sehingga tidak dapat bangun dan berjalan, ketika beliau menjalani latihan praktikal di Hospital Pulau Pinang, pada Februari tahun ini.

Dia yang juga anak ketiga daripada empat beradik berasal dari Pulau Pinang telah disahkan menghidap kegagalan buah pinggang atau ‘End Stage Failure (ESRF) pada Januari 2009 menyebabkan dia terpaksa berulang alik ke hospital bagi menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Nur Husna telah dianugerahkan Ijazah Aegrotat kerana tidak dapat menghabiskan tempoh empat tahun pengajian disebabkan masalah kesihatan, tetapi telah berjaya mencapai sekurang-kurangnya 75 peratus daripada jumlah kredit bergraduat, bagi program pengajian yang diikuti untuk dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda.

Nur Husna menghadiahkan ijazah yang diterima kepada ibu bapanya yang telah banyak berkorban kepada beliau selama ini

“Saya buat semua ini untuk emak dan ayah saya  sebab dalam keluarga saya tiada lagi yang berjaya dalam akademik dan ini salah satu cara yang saya buat  setakat  yang mampu untuk bagi dekat  mereka yang dari awal  lagi dah berkorban banyak  untuk saya,”

“Ayah saya dahulunya bawa lori  tapi lepas saya sakit tahun 2010 ayah berhenti kerja sebab nak kena bawa saya berulang ke hospital kerana waktu itu  baru sakit dan tak stabil lagi," katanya selepas Majlis Idul Ilmi Konvensyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-11 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kampus Gong Badak di sini semalam.

Ayah beliau, Md Lazim Saari, 57, kini membantu ibunya, Aisah Abdullah, 60, sebagai pengasuh.

WhatsApp Image 2019 10 15 at 16.22.36

Print Email