• Home
  • Berita
  • UniSZA jalin kerjasama dengan TM ke arah era Pendidikan 4.0

UniSZA jalin kerjasama dengan TM ke arah era Pendidikan 4.0

WhatsApp Image 2019 10 01 at 15.08.56 Kuala Terengganu - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Unit Rumusan Perniagaan Perusahaan dan Awam Telekom Malaysia Bhd (TM), TM One menjalinkan kerjasama melaksana transformasi digital bagi memacu ke arah era Pendidikan 4.0 yang dipengaruhi Revolusi Industri 4.0.

Kerjasama itu diterjemahkan melalui perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Pegawai Eksekutif TM One, Ahmad Taufek Omar hari ini.

Hassan Basri berkata melalui perjanjian tersebut, TM One akan menyediakan kapasiti baharu jalur lebar berkelajuan lima GBPS (Gigabit Per Saat) bagi tempoh lima tahun bermula Oktober tahun ini yang akan memberi manfaat kepada 13,000 warga UniSZA di tiga lokasi iaitu kampus utama Gong Badak, kampus cawangan di Tembila, Besut dan Kampus Perubatan, Kuala Terengganu.

"Perjanjian ini adalah sebahagian daripada perjalanan transformasi UniSZA ke arah mencapai revolusi 4.0 dan meningkatkan lagi kecekapan operasi universiti.

Ia juga akan memberi sambungan yang khusus dan lancar antara kampus-kampus sekali gus mengatasi masalah seperti gangguan ketika persidangan maya atau sebagainya yang menjejaskan komunikasi," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan itu di sini, hari ini.

Sementara itu Ahmad Taufek berkata kapasiti baharu itu akan menjadikan UniSZA lebih kompetitif dan bergerak lebih pantas bagi mencapai tahap global.

"Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, kita telah membuat pelaburan di tempat agak jauh dari pusat bandar, di Kampus Tembila bagi memastikan warga UniSZA dapat menikmati internet berkelajuan tinggi iaitu dua GBPS di situ sahaja dan keseluruhan lima GBPS di tiga kampus.

"Ia satu kejayaan dan kemudahan bagi warga UniSZA yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan lagi produktiviti universiti," katanya.

WhatsApp Image 2019 10 01 at 15.08.55

Print Email