• Utama
  • Berita
  • UniSZA Tubuh Perpustakaan Mini Di Perkampungan Orang Asli Aring 5, Gua Musang

UniSZA Tubuh Perpustakaan Mini Di Perkampungan Orang Asli Aring 5, Gua Musang

05.07 PU Bina Library 2 KUALA NERUS - Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Sekalipun terpaksa meredah hutan, jauh dari hiruk-pikuk kota, kakitangan Perpustakaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)   nekad dalam usaha untuk merealisasikan hasrat program Dekad Membaca yang telah direncanakan oleh Kementerian Pendidikan.

Bagi menjayakan program itu, Perpustakaan UniSZA telah menongkah arus dengan ‘menerjah’ ke perkampungan Orang Asli Aring 5, Gua Musang, Kelantan dan menubuhkan sebuah Perpustakaan Mini bagi menyantuni 100 orang kanak-kanak daripada 350 penduduk di kampung tersebut.

Pengarah Projek Perpustakaan Mini, Mohd Sabri Muda, berkata program itu dilaksanakan sebagai suatu idea untuk mendedahkan golongan Orang Asli dengan pelbagai bahan bacaan serta membantu mereka untuk menanamkan budaya cintakan ilmu.

“Kami sebagai warga Perpustakaan UniSZA berasa terpanggil untuk melaksanakan projek bersama dengan Orang Asli memandangkan kita sedia maklum golongan ini sukar untuk keluar dari perkampungan mereka kerana penempatan jauh dari bandar.

“Kita tidak boleh mengharapkan mereka datang kepada kita. Dan, kita juga tidak boleh meminggirkan golongan ini dari arus pendidikan jadi kami mengambil langkah untuk turun ke perkampungan ini bagi memberikan ‘input’ kepada mereka,” katanya.

Katanya lagi, usaha itu membuahkan hasil yang positif apabila ramai ibu bapa dan kanak-kanak Orang Asli datang ke program yang dilaksanakan tersebut.

Selain menempatkan sejumlah 350 bahan bacaan, sebahagian ruang Perpustakaan Mini turut dijadikan sebagai ruangan pembelajaran.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan pada hari perasmian tersebut seperti sesi motivasi dan pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh 60 orang mahasiswa dari Fakulti Perubatan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Sayuti Razali.

Sementarai itu, Ketua Pustakawan UniSZA, Norulhuda Makhtar, berkata mereka turut menyertai Projek Khaleef Bateq yang bertemakan Sekolah Bimbingan Fardhu Ain dan Galakan Membaca anjuran Persatuan Mahasiswa Antropologi dan Dakwah, Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) UniSZA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

“Program ini telah bermula sejak Februari 2019 dan digerakkan oleh sekumpulan 87 orang mahasiswa Antropologi dan Dakwah dari FSSG yang dirasmikan sendiri oleh Dekan FSSG, Prof. Dr. Wan Abd Aziz Wan Mohd Amin.”

“Antara program yang dijalankan untuk manfaat komuniti Orang Asli di sini adalah  kelas fardhu ain dewasa lelaki dan wanita, dan kelas pendidikan awal kanak-kanak bagi memantapkan penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira) dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli”, katanya ketika ditemui.

Tambahnya lagi, ianya merupakan inisiatif dan peluang dalam melaksanakan tanggungjawab kepada komuniti melalui program khidmat masyarakat selain tanda sokongan kepada program Dekad Membaca.

“InsyaAllah, perpustakaan mini ini akan menjadi platform kepada komuniti Orang Asli di sini menyemai minat membaca dan memperolehi ilmu pengetahuan”, katanya.

05.07 PU Bina Library 1 05.07 PU Bina Library 1

Cetak E-mel