• Utama
  • Berita
  • UniSZA RAIH 38 PINGAT EMAS DAN ANUGERAH GRAND AWARD DI MPI 2019

UniSZA RAIH 38 PINGAT EMAS DAN ANUGERAH GRAND AWARD DI MPI 2019

mpi11 Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendominasi kutipan pingat emas di Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2019 apabila berjaya meraih sebanyak 38 pingat emas, selain 50 perak dan 51 pingat gangsa.

Lebih mebanggakan, produk hasil ciptaan penyelidik UniSZA, Dr. Abd Jamil Zakaria iaitu Superb Dairy Fertilezer (SDF) turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Grand Award pada MPI 2019 kali ini.

Dr. Jamil ketika ditemui berkata, produk berkenaan merupakan baja inovatif yang baru dalam industri tenusu dan telah dirumuskan untuk menyediakan nutrien yang seimbang yang diperlukan dalam pemakanan kambing tenusu bagi menghasilkan kuantiti dan kualiti susu yang tinggi.

“Gabungan keseimbangan nitrogen, fosforus, kalium dan kalsium dengan elemen surih (TE) dalam SDF terbukti dapat meningkatkan pertumbuhan, hasil dan kualiti rumput serta meningkatkan kandungan protein dan kalsium dalam susu sertameningkatkan jumlah rumput yang sihat untuk makanan ruminans”

“Kelebihan SDF ini adalah ia membekalkan nutrien lengkap dan seimbang disamping diperkayakan dengan kalsium terutamanya untuk pertumbuhan cepat pastura bagi makanan haiwan tenusu”, katanya ketika ketika ditemui.

Menurut Dr Jamil, penggunaan SDF yang mudah dan praktikal turut menjimatkan di mana hanya 5-10 gram diperlukan untuk setiap tanaman bagi selang 3 minggu serta tiada baja kimia tambahan yang diperlukan sekaligus dapat mengurangkan pencemaran persekitaran.

“Peningkatan penghasilan dan pengeluaran susu ini dapat meningkatkan ekonomi dan pendapatan usahawan ternakan dan tenusu” katanya pada majlis penyampaian hadiah dan penutup MPI 2019 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA

Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniSZA, Prof Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad. Turut hadir, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan (RMIC) UniSZA, Prof Madya Dr. Saiful Bahri Mohamad.

Sementara itu, Prof Ir Badlishah berkata, MPI 2019 ini diharap menjadi menjadi platform kepada produk-produk penyelidikan dan inovasi dapat dikomersialkan untuk manfaat masyarakat.

“Kita harap produk-produk ini diketengahkan kepada pemain industri bagi tujuan pengkomersialan sekaligus menjadikan universiti lebih mampan berdaya maju”

“Dengan tema Peradaban Insan Melalui Kelestarian Penyelidikan dan Inovasi, MPI 2019 ini mampu menjadi medan kepada para penyelidik dan pelajar untuk menzahirkan idea-idea inovasi kepada produk bermanfaat untuk kesejahteraan sejagat”, katanya ketika ditemui.

MPI yang belangsung selama dua hari bermula 12 Mac itu mempertandingkan sebanyak 420 produk penyelidikan dan inovasi hasil penyelidik dari seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta pelajar sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

mpi22 mpi33

Cetak E-mel