• Utama
  • Berita
  • UniSZA Juara Sayembara Pantun Piala Nusantara 2018

UniSZA Juara Sayembara Pantun Piala Nusantara 2018

pantun3 Kuala Nerus – Penantian lima tahun pasukan pantun Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berakhir selepas mereka dinobatkan sebagai juara Sayembara Pantun Piala Nusantara 2018 (SAPPNA 2018) Pada pertandingan akhir, pasukan terbabit yang diwakili Muhammad Wan Faizal Che Juhari,23, Mohammad Aimi Rajli, 24, Muhammad Aizuddin Harif, 21 dan Mohammad Saifullah Mazlan, 21 menewaskan pasukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Faizal Mithali ketika ditemui berkata, beliau dan ahli pasukan lain begitu gembira dan besyukur atas kemenangan tersebut kerana sudah lama menanti untuk begelar juara “Alhamdulillah, usaha dan penat lelah serta persiapan rapi kami berempat selama ini terbalas dengan kemenangan yang diterima pada malam ini”. “Persiapan selama tiga minggu telah dilakukan bersama ahli pasukan dengan membuat kajian pantun lama sebagai usaha menghasilkan idea sepanjang pertandingan”, katanya ketika ditemui.

UniSZA turut memenangi anugerah Busana Terbaik kategori IPT, manakala Mohd Syazreen Bahenuddin dari pasukan UiTM A dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik kategori IPT. Johan pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200, piala iringan dan sijil penyertaan, tempat kedua menerima RM 800, piala iringan dan sijil penyertaan sementara tempat ketiga, pasukan UiTM B mendapat RM 300, piala iringan dan sijil penyertaan. Bagi kategori sekolah pula, SMKA Kuala Selangor dinobatkan sebagai juara, manakala SMK Tun Habab meraih naib juara dan tempat ketiga menjadi milik SBPI Kubang Pasu.

Pertandingan akhir tersebut telah diadakan di Dewan Perdana UniSZA dan dirasmikan oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif. Pertandingan anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UniSZA yang berlangsung selama empat hari itu disertai 16 pasukan dari IPT termasuk Thailand dan Indonesia serta 8 pasukan dari sekolah.

pantun2 pantun1

Cetak E-mel