• Home
  • Berita
  • MPP UniSZA SERTAI JELAJAH KEPIMPINAN DAN KESUKARELAWAN KE BUMI TURKI

MPP UniSZA SERTAI JELAJAH KEPIMPINAN DAN KESUKARELAWAN KE BUMI TURKI

TURKI1 Turki - Terkenal dengan jolokan ibu kota yang tersirat dengan kekayaan sejarah dan tamadunnya, Turki telah menjadi destinasi pilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)  Sesi 2016/2017 bagi melaksanakan program pengantarabangsaan mereka selama 11 hari.

Pengarah Program, Muhammad Ammar Rafiq Ruslan, berkata selain mendekati dan memahami budaya masyarakat di sana, peserta turut menjalinkan hubungan antarabangsa menerusi lawatan akademik di Universiti Marmara dan Universiti Istanbul.

“Alhamdulillah, saya bersama 25 mahasiswa lain serta tiga pegawai turut melawat pelarian Syria di sekitar bandar dan berkunjung ke Yayasan Pelarian Syria di Istanbul iaitu sebuah badan amal yang membantu para pelarian.

“Kunjungan kami ke situ adalah untuk membawa hasrat mahasiswa UniSZA yang telah menyumbangkan dana sebanyak RM 4,000 kepada Pelarian Syria di Turki menerusi Program 1 Mahasiswa 1 Ringgit”, katanya.

Katanya lagi, peserta juga telah mempamerkan pelbagai seni kebudayaan negara menerusi tarian, silat dan peragaan pakaian tradisional kepelbagaian kaum di Malaysia.

Menurut Ammar, lawatan itu turut mengunjungi tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Biru, Muzium Hagia Sophia, Atartutk Pavillion, Masjid Sulaymaniye dan banyak lagi kawasan yang terkenal dengan keindahan landskap dan kekayaan sejarahnya.

“Walaupuan banyak bangunan yang sudah berusia lebih 100 tahun tapi seni binanya tetap teguh membuatkan kami begitu kagum dengan kehebatan arkiteknya”, katanya.

Sementara itu, peserta, Nur Iziatul Athirah M.Daud, bersyukur kerana program ini sebagai berjaya mencapai objektifnya kerana persiapan sebelum dan semasa program adalah digerakkan mereka sendiri termasuk mencari penajaan.

“Alhamdulillah usaha kami dalam mencari dana berhasil sekaligus dapat berpeluang untuk berkongsi kekayaan tradisional negara di peringkat antarabangsa”

“Pendedahan di peringkat antarabangsa merupakan sesuatu yang sangat berharga termasuklah pengalaman dalam menguruskan program iaitu fasa sebelum,semasa dan selepas program” katanya ketika ditemui.

TURKI2   TURKI3

Print Email