CURANG DALAM AKADEMIK, DERITA DALAM BAHAGIA

Unit Kaunseling, PTNC HEPA berbesar hati menganjurkan Program Curang Dalam Akademik, Derita Dalam Bahagia bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Akademik, UniSZA Kampus Gong Badak. Program yang diadakan pada 31 Mac 2018 ini telah dihadiri 107 orang peserta terdiri daripada mahasiswa UniSZA. 

Program ini bermatlamat demi memberi kesedaran umum kepada mahasiswa UniSZA tentang gejala salah laku dalam peperiksaan dan akademik serta tatacara menanganinya. Menerusi program ini, dua orang penceramah telah dijemput bagi mengupas isu berkait salah laku meniru dalam peperiksaan iaitu Dr. Muhamad Fazil Bin Ahmad, merupakan Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial Gunaan dan Puan Salwani bint Mahasan, Pegawai Undang-undang UniSZA.

Menurut Puan Salwani, Bagi kesalahan akademik, pelajar adalah tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Universiti  Darul Iman Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 2008. (Sekarang dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin). Kesalahan akademik yang pertama adalah sebagaimana Kaedah 6, iaitu yang menyebut tentang larangan terhadap plagiarisme. Manakala kesalahan akademik lain adalah sebagaimana kaedah 8 yang menjelaskan tentang kelakuan semasa peperiksaan.

Secara umumnya perbuatan salah laku dalam akademik ini telah memberi impak yang besar terhadap pembelajaran pelajar di universiti. Mahasiswa seharusnya lebih amanah dan bertanggungjawab sepanjang pengajian di universiti. Setiap ilmu yang dipelajari akan menjadi bekalan terutama untuk digunakan dalam alam pekerjaan. Apa yang lebih baik adalah keberkatan ilmu yang diperoleh. Semoga menerusi penganjuran program ini dapat mengubah sahsiah dan etika Mahasiswa terhadap integriti dalam peperiksaan dan pelajaran.

Print Email