UniSZA TINGKATKAN HASIL TEMBIKAI DI BESUT DENGAN TEKNOLOGI BAHARU

Ladang3 Besut - Seramai 11 orang penanam tembikai berjaya menghasilkan kira-kira 300 tan buah tembikai di ladang seluas 10 hektar di Pengkalan Kubur, Besut melalui teknologi tanpa menggunakan bahan kimia yang diperkenalkan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Ketua Pengurusan Ladang UniSZA Besut, Dr Abd Jamil Zakaria berkata kejayaan itu adalah yang pertama sejak mereka berkecimpung dalam projek penanaman tembikai di kampung itu dalam tempoh lebih 25 tahun.

Menurut Abd Jamil, teknik yang digunakan adalah adalah 'Effective Microorganisme' (tanpa menggunakan racun rumpai) iaitu bukan sahaja berjaya meningkatkan pengeluaran malah kualiti buah berkenaan dan menjadikan ia lebih selamat dimakan berbanding sebelum ini.

“Menerusi program ini, kita beri antara 0.8 hingga satu hektar seorang dan daripada setiap hektar yang diusahakan, mereka memperoleh pendapatan antara 20 hingga 25 tan buah tembikai hasil tanaman yang diperkenalkan,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang peserta, Kamaruddin Yusoff, 66, bersyukur dan gembira kerana usaha serta kesabaran menanam tembikai menggunakan teknologi baru oleh UniSZA itu berjaya mengeluarkan hasil luar jangkaan.

“Pada mulanya projek tanaman itu dilaksanakan di luar musim, iaitu dimulakan pada musim tengkujuh akhir tahun lalu di mana ia benar-benar menguji kesabaran kami hingga menyebabkan ramai yang berhenti menanam kerana tidak yakin dengan cara baharu yang diperkenalkan.

"Daripada seramai 20 penanam yang memulakan tanaman, akhirnya tinggal hanya 11 orang yang dengan tekun mengikuti kaedah yang diperkenalkan oleh UniSZA dan akhirnya dalam masa 70 hari kami berjaya menuai hasil yang lumayan”, katanya ketika ditemui pada majlis kutipan hasil ladang.

Majlis Kutipan Hasil Ladang Tanah Beris di Kampung Pengkalan Kubur itu dirasmikan oleh Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi Latiff. Turut hadir, Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), Prof Madya Dr. Khamsah Suryati Mohd.  

Ladang4jpg   Ladang1   Ladang2

Cetak E-mel