1,000 HADIR JOM TEROPONG GERHANA BULAN PENUH DI DAPO PATA

Gerhana0102183 KUALA NERUS - Gerhana bulan penuh yang mula kelihatan antara pukul 8.51 hingga 10.07 malam ini menarik minat hampir 1,000 penduduk untuk menyaksikan fenomena tersebut di Pantai Tok Jembal di sini hari ini. 

Pensyarah Institut Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri), Dr. Roslan Umar berkata, fenomena tersebut dianggarkan berlaku kira-kira sejam dengan jarak kedudukan bulan berada kira-kira 360,000 kilometer daripada bumi. 

“Fenomena gerhana bulan penuh yang berwarna merah darah hanya dapat dilihat kira-kira dua hingga tiga minit sahaja pada malam ini sebelum ia mula ditutupi awan tebal. 

“Pada malam ini juga kita dijangka dapat melihat gerhana bulan penumbra yang berwarna cerah antara pukul 11.11 hingga 12.08 malam. Fenomena ini turut digelar sebagai gerhana warna,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Cerapan Gerhana Bulan Penuh di Uptown Kontena Dapo Pata, Pantai Tok Jembal di sini hari ini. 

Pada program tersebut, penduduk yang hadir turut menunaikan solat sunat gerhana bulan pada pukul 9.45 malam. 

Dalam pada itu,  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa), Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, program julung kali yang diadakan ini dianggap istimewa dan berbeza dari negeri lain kerana aktiviti cerapan dilakukan di tepi kawasan pantai. 

Jelas beliau, orang ramai berpeluang melihat fenomena tersebut dengan lebih jelas menggunakan enam buah teleskop yang disediakan.

Gerhana0102181 Gerhana0102182 Gerhana0102184 Gerhana0102186

Cetak E-mel