1500 PENGHUNI KOLEJ KEDIAMAN UniSZA BANTERAS AEDES

aedes1 KUALA NERUS – Lebih 1500 penghuni kolej kediaman Universti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak menyertai gotong royong bagi membanteras pembiakan nyamuk aedes di kawasan asrama.

Ketua Penyelaras Kesihatan Pelajar, Dr. Yusmina Mohd Yusof, berkata tujuan gotong royong diadakan adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar supaya menjaga kebersihan kawasan tinggal seterusnya mengelakkan pembiakan nyamuk aedes yang merupakan ejen pembawa denggi.

“Apa gunanya kediaman kita cantik tetapi tidak bersih dan menjadi tempat nyamuk aedes membiak”, katanya semasa taklimat ringkas di program berkenaan.

Menurut beliau, pihak berkuasa juga kerap meninjau serta membuat pemeriksaan terhadap kawasan kediaman pelajar termasuk tempat air bertakung bagi mengelakkan menjadi sarang nyamuk aedes.

Dalam program itu, pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang diketuai oleh kakitangan pejabat kolej kediaman dan dibantu oleh felo bertugas.

 Menambahkan lagi kemeriahan program, peserta yang berjaya menemui tempat pembiakan nyamuk aedes telah dijanjikan habuan berbentuk hamper.

Program anjuran Pejabat Kolej Kediaman itu turut mendapat kerjasama Pusat Kesihatan Pelajar, Pusat Pembangunan Holistik Pelajar dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus.

Selain gotong-royong, pameran dan penerangan mengenai nyamuk aedes turut dijalankan oleh Unit Promosi Kesihatan,  Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus.

aedes3

Cetak E-mel