UniSZA CEMERLANG DI SIIF 2017

seoul4 Seoul: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus unggul di persada antarabangsa apabila berjaya meraih tiga pingat Emas, tiga Perak dan dua pingat Gangsa di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2017.

Lebih bermakna lagi apabila UniSZA turut memperolehi anugerah khas menerusi produk i-Dispenser yang diketuai oleh Prof. Dr. Nasir Mohamad.

Beliau ketika ditemui berkata, i-Dispenser adalah sebuah produk yang dicipta untuk membantu mengoptimakan rawatan ketagihan dadah.

“Produk ini berfungsi secara automatik dan segala maklumat pesakit disimpan dalam pangkalan data bagi memastikan ia tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab”, katanya.

Katanya lagi, beliau bersyukur kerana terpilih untuk anugerah khas itu dan diberi peluang untuk mendedahkan ciptaan masing-masing selain menjadi batu ukuran terhadap pencapaian dalam bidang diceburi.

“Penglibatan dalam pameran ini amat penting kerana ia membuka peluang kepada pencipta untuk berkolaborasi dan saling bertukar idea serta pandangan bagi penyelidikan dan inovasi yang akan dilaksanakan pada masa hadapan”, katanya.

Pameran anjuran Korea Invention Promotion Association (KIPA) itu berlangsung selama empat hari bermula 30 November sehingga 3 Disember, di Dewan Pameran COEX, Seoul, Korea Selatan.

seoul3   seoul1   seoul2

Cetak E-mel