FSSG Anjur Simposium Kanak-Kanak Berkeperluan Khas

fssg1411 2 UniSZA – Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pengerusi Kesihatan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri Terengganu, PERMATA Kurnia , ShowmeKids Sdn. Bhd dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah berjaya menganjurkan program Simposium Kanak-Kanak Berkeperluan Khas 2017 pada 30-31 Oktober 2017 bertempat di Dewan Perdana, UniSZA.

Program ini bertujuan untuk membincang dan membahas kepentingan dan isu-isu semasa golongan kanak-kanak berkeperluan khas di negara ini. Ia dihadiri oleh pemegang-pemegang taruh yang telah memberi cadangan dan penambahbaikan pendekatan serta garis panduan berkaitan golongan tersebut.

Penglibatan KPWKM telah dapat memberi satu anjakan paradigm untuk menaiktaraf keperluan dan pendekatan kanak-kanak berkeperluan khas khususnya di Pantai Timur. Daripada resolusi dan perbincangan simposium tersebut, FSSG juga berhasrat untuk mempersiapkan langkah bagi menjadikan UniSZA sebagai hab kanak-kanak berkeperluan khas Pantai Timur 2019 selaras dengan pembukaan Hospital Pengajar di UniSZA.

UniSZA selaku universiti komuniti berharap dengan langkah berkenaan, lebih ramai ibu bapa sedar mengenai kepentingan pendidikan khas kepada kanak-kanak OKU.

Naib Canselor UniSZA, Dato’ Prof Dr Ahmad Zubaidi Abd Latif, berkata dengan adanya hospital terbabit, UniSZA akan menyediakan pakar bagi membantu kanak-kanak OKU dan keluarga mereka terutama kepada ibu bapa yang tidak dapat mengenal pasti anak mereka tergolong dalam golongan itu.

Menurut Dato’ Prof. Dr Ahmad Zubaidi Abd Latif  lagi, ada beberapa jenis OKU yang sukar untuk dikenal pasti oleh ibu bapa termasuk disleksia, autistik dan kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran. Justeru, ramai kanak-kanak OKU tidak didaftarkan dan mereka berkemungkinan tidak mendapat pendidikan khusus.

Program yang telah dirasmikan oleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Encik Azman Mohd Yusof mewakili YB Dato' Sri Hajah Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Program selama dua hari itu mendapat penyertaan seramai 200 peserta dari negeri Johor, Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Simposium yang julung kali diadakan di UniSZA itu dapat menyelami kehidupan keluarga yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas/ OKU serta berdiskusi mengenai pendekatan dan intervensi awal  untuk mengendalikan gologan itu dalam kehidupan seharian mereka.

fssg1411 1   fssg1411 3   fssg1411 4

Cetak E-mel