TAHNIAH PUTERI NURAAINA BALQIS

Aina1 Sekalung tahniah diucapkan kepada Puteri Nuraaina Balqis binti Mohd Asri, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dengan Komunikasi, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang telah menerima Honorable Mention Award di Asia Youth International Model United Nation (AYIMUN) 2017 yang berlangsung pada 3–6 November 2017 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Program yang melibatkan 600 orang peserta daripada 32 buah negara ini telah dianjurkan oleh Indonesia Global Network, sebuah pertubuhan bukan kerajaan dengan kerjasama Event Organizer MICE (Meeting, Incentive, Convention and Exhibition). Penganjuran program ini adalah bertujuan mengumpul belia daripada seluruh dunia untuk bekerjasama dalam gerakan sosial, perniagaan, teknologi dan budaya serta untuk mengenali antara satu sama lain demi membawa perubahan kepada dunia yang lebih baik.

Program bertaraf antarabangsa ini juga dianjurkan untuk membina kemahiran kepimpinan golongan belia dari pelbagai negara. Ia juga merupakan membuka peluang bagi para peserta untuk mengenali, menghargai dan menyokong antara satu sama lain tanpa batasan sempadan geografi.

Selain itu, program ini merupakan satu bentuk simulasi akademik yang memberi peluang kepada peserta untuk merasai cara dan kaedah yang digunakan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam membuat dasar bagi sesuatu agenda. Simulasi ini melibatkan peraturan, prosedur dan aliran kerja antara delegasi antarabangsa, lembaga eksekutif dan pihak media antarabangsa. Semua agenda yang ditugaskan kepada para peserta yang terdiri daripada pelajar prasiswazah mahupun pascasiswazah pelbagai latar belakang akademik kemudiannya dibentangkan dalam sesi perdebatan ala parlimen yang berkualiti dan menarik.

Putri Nuraaina Balqis telah ditugaskan untuk mewakili delegasi negara Cameroon dalam Majlis UNESCO dan membentangkan agenda berkenaan pemeliharaan warisan budaya dengan tajuk ‘The Involvement of Society in Preserving Cultural Heritage’. Menurut beliau, program ini telah membuka mata dan minda beliau dalam memahami mekanisme yang digunakan oleh PBB dalam menentukan sesuatu dasar. Beliau juga sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh pihak keluarga, fakulti dan universiti serta ADUN Kamunting, YB. Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid yang merealisasikan penglibatan beliau dalam program ini.

Aina2

Cetak E-mel