ISLC 2017 PLATFORM SUARA MAHASISWA REALISASI TN50

tn50 1 Kuala Nerus: Seramai 350 pelajar dari Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menyertai Konvesyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Kebangsaan 2017 (ISLC 2017) yang berlangsung selama empat hari bermula 23 Ogos.

Pengarah program ISLC 2017, Muhammad Zahiruddin Ridzuan, berkata konvesyen ISLC 2017 adalah satu inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menyediakan platform kepada mahasiswa untuk menyumbang idea, pendapat dan cadangan kepada Kementerian.

“Saya yakin dan percaya suara mahasiswa adalah salah satu nadi penting kepada pembangunan sesebuah negara”

“Malah, ini juga adalah usaha kami untuk merealisasikan TN50 yang ternyata memerlukan buah fikiran mahasiswa seperti kami kerana generasi hari inilah yang akan mewarisi negara kita pada masa hadapan,” katanya pada majlis penutup dan makan malam ISLC 2017 di Dewan Al Muktafi Billal Shah, UniSZA.

Majlis penutup itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang.Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof Dato Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif.

Menurut Zahiruddin, konvesyen yang bertemakan “Idealisme Mahasiswa Ke Arah Transformasi Nasional 2050” itu bertujuan untuk membentuk mahasiswa dari pelbagai UA dan IPTS yang terlibat dalam menyumbang idea secara intelektual.

“Kita yakin dengan adanya konvesyen seperti ini, ia dapat melahirkan mahasiswa yang aktif, progresif dan sentiasa menyumbang balik kepada pembangunan diri, keluarga, universiti dan negara”katanya.

Zahiruddin berkata, resolusi hasil perbincangan dari konvesyen  itu akan diangkat ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tindakan selanjutnya dalam usaha merealisasikan harapan dan aspirasi para pemimpin mahasiswa dalam teras-teras utama konvesyen.

“Enam teras utama kita telah bincangkan pada konvesyen ini iaitu agama, negara, belia, pendidikan, keusahawanan dan kesukarelawanan,” katanya yang juga Timbalan Presiden MPP UniSZA.

ISLC 2017 yang kali kedua itu turut menampilkan barisan toloh ternama untuk berkongsi ilmu, kepakaran dan pengalaman mereka sepanjang konvesyen antaranya Pengerusi Yayasan Minda, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Prof Dr. Ibrahim Shah Abu Shah dan Pengerusi TEKUN, YBhg. Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri.

tn50 2   tn50 3

Print Email