• Utama
  • Berita@UniSZA
  • LAWATAN PENILAIAN AKREDITASI PENUH PROGRAM SARJANA MUDA PERUBATAN DAN PEMBEDAHAN 2017

LAWATAN PENILAIAN AKREDITASI PENUH PROGRAM SARJANA MUDA PERUBATAN DAN PEMBEDAHAN 2017

MQA11 KUALA TERENGGANU - Fakulti Perubatan (FP), Universiti Sultan Zainal Abidin, UniSZA telah menerima lawatan Penilaian Akreditasi Penuh Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan oleh Panel Penilai Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Agency, MQA) bermula pada 02 hingga 04 Julai 2017 di Kampus Perubatan, UniSZA.

Tujuan lawatan ini adalah untuk menyemak dokumen Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan ini memenuhi semua kriteria yang telah ditetapkan oleh MQA. Hal ini sekaligus dapat memastikan proses pengiktirafan program yang telah ditawarkan selama lapan (8) tahun ini mencapai matlamat serta standard silibus pengajaran dan pembelajaran setaraf dengan universiti perubatan lain. Penilaian ini merangkumi aspek semakan, penelitian dan pengauditan terhadap dokumen-dokumen asal.

Disamping itu juga, lawatan Penilaian ini secara langsung melibatkan penilaian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran ilmu yang dijalankan, melihat, memantau dan memeriksa premis, bilik/dewan kuliah, makmal, peralatan serta mengadakan temubual dengan pihak pengurusan, staf akademik dan pelajar dalam mematuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh MQA terutama dalam aspek keselamatan, kesihatan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Turut hadir bagi menjayakan lawatan ini ialah Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi bin A.Latif, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UniSZA, Prof. Dr. Mahadzirah binti Mohamad, Penolong Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Mohd Afandi bin Muhamad, Dekan FP, Prof. Dr. Nordin bin Simbak, Timbalan Dekan, Ketua Pusat Pengajian serta pensyarah fakulti. Antara Ahli Panel Penilai (APP) dan Pegawai MQA yang hadir adalah Prof. Dr. Azad Hassan Abdul Razack (Universiti Malaya), Prof. Dr. Adinegara Lutfi Abas (Melaka Manipal Medical College), Prof. Dr. Hamidon Basri (Universiti Putra Malaysia), Prof. Dr. Nor Hayati Othman (Universiti Sains Malaysia), Dr. Suman a/l Subramaniam (Wakil Majlis Perubatan Malaysia) dan Encik Idris bin Ahmad (Pegawai MQA).Pihak fakulti mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program lawatan ini.

mqa4 mqa2 mqa1

CetakE-mel