PELAJAR SISWAZAH FSK MENANG 2 HADIAH DI HEALTH SCIENCES SYMPOSIUM 2017

afikah1 Pelajar siswazah Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Nor Afiqah Binti Ahmad Nasrulddin yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains (pengkhususan: Amalan Farmasi) telah berjaya mengharumkan nama UniSZA menerusi 2 buah hadiah yang digondol sewaktu menyertai Health Sciences Symposium 2017 pada 25 Mei 2017 baru-baru ini.

Simposium sehari yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan itu telah disertai hampir 80 orang peserta yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar siswazah dari universiti-universiti awam tempatan termasuklah USM, UKM dan UTHM.

Penuntut siswazah yang baharu dalam semester pertama ini telah memenangi hadiah tempat ke-3 untuk pembentangan lisan dalam kategori Wellness dengan menyampaikan kertas kerja bertajuk Symptoms of Craving And Withdrawal Among Drug Addicts Undergoing An Islamic Therapy (Inabah). Sebuah lagi kemenangan juga adalah menerusi hadiah tempat ke-3 yang dipersembahkan dalam bentuk pembentangan poster dengan tajuk Drug Use And Health Status of Drug Misusers: An Insight Into Participants of Inabah Programme.

Selain itu, Afiqah turut membentangkan 2 buah lagi kertas kerja hasil kajian rintis beliau, masing-masing melalui sesi poster dan sesi lisan mengenai Relationships Between Cognitive Impairment, Knowledge And Attitude Among Drug Misusers Undergoing An Islamic Therapy In Malaysia serta Psychosocial Profiles Among Drug Addicts Undergoing Islamic-Based Inabah Programme In Kelantan, Malaysia. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM.

Afiqah juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli projek, sahabat seperjuangan dan pihak-pihak yang konsisten memotivasi dan menyokong projek penyelidikan dan pengajian beliau selama ini. Projek induk tersebut dibiayai oleh geran SRGS bertajuk Integrasi Data Klinikal Dan Kualiti Hidup Terapi Inabah Untuk Pembangunan Model Sokongan Keputusan Berkomputer Berasaskan Teknik Neural Network Bagi Penagihan Dadah.

Antara pedoman yang sering menjadi pegangan beliau ialah tekun berusaha, tidak mudah putus asa dan sentiasa berdisiplin serta berfikiran positif. Semoga kejayaan Afiqah ini akan menjadi suntikan perangsang kepada pelajar-pelajar lain yang sedang mengikuti pengajian siswazah untuk meneruskan kecemerlangan penyelidikan di UniSZA.

afikah2

CetakE-mel