29 PELAJAR TERAJUI MPP UNISZA SESI 2016/2017

UKK 7278 Kuala Nerus:  Seramai 29 calon diumumkan menang dan terpilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin sesi 2016/2017 dalam satu majlis khas yang diadakan di Dewan Perdana, Kampus Gong Badak, semalam.

Jumlah tersebut termasuk 10 calon kerusi umum dan 19 calon kerusi Fakulti yang diumumkan menang tanpa bertanding  kecuali Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK) selepas sesi penamaan calon 18 September  lalu.

Calon dari FIK yang bertanding semalam, Amirul Firdaus Azhar mendahului senarai calon dengan meraih 434 undi diikuti Abdul Aslam Husaini Abdul Malek, 273 undi berjaya mengisi kerusi fakulti bagi MPP sesi 2016/2017.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Nik Wan Omar selepas berakhirnya proses pilihanraya bagi calon pelajar FIK  yang ditutup pada jam 4.45 petang.

Prof Dr Nik Wan ketika ditemui berkata,  beliau begitu kagum dengan keberanian yang ditunjukkan oleh calon-calon yang menawarkan diri bertanding pada sesi pemilihan MPP kali ini.

“Walaupun mereka menang tanpa bertanding, saya menghormati keberanian yang ada dalam diri mereka kerana tampil untuk bertanding sedangkan pelajar yang lain menolak peluang tersebut,” katanya.

Malah pelajar FIK yang keluar mengundi juga menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik apabila proses pemilihan wakil MPP berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekecohan dengan peratusan pelajar yang keluar mengundi adalah seramai 90  peratus.

"Justeru, saya amat berharap, calon yang dipilih hari ini akan menjadi wakil pelajar yang sebenar-benarnya untuk menyalurkan sebarang permasalahan kepada pihak pengurusan," ujar beliau.

UKK 7289

Cetak E-mel