2 Graduan Terima Anugerah Pelajaran Diraja

diraja2 KUALA NERUS – Graduan Fakulti Biosumber dan Teknologi Makanan, Ahmad Hanafi  Sulung dan Vivian Lam Shi Wei daripada Fakulti Seni Reka dan Teknologi Kejuruteraan muncul penerima sulung Anugerah Pelajaran DiRaja sempena Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) kali ke-6. Kedua-dua penuntut berkenaan merupakan antara 2,485 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dam ijazah doktor falsafah (PhD) dalam majlis yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, semalam. 

Menurut Vivian, 24, dia sama sekali tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah tertinggi itu, sekali gus menyifatkan ia sebagai hadiah buat kedua ibu bapa. Katanya segala pengorbanan dan kesungguhan belajar sebelum ini akhirnya terbalas. “Saya bangga dan gembira dengan pengiktirafan tertinggi ini dan kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa  sokongan keluarga, pensyarah dan rakan yang telah banyak membantu sepanjang saya belajar di sini (Unisza),” kata anak kepada pasangan Lam Harn Lian, 47 dan Khor Bing Hwa, 47. 

Katanya lagi, muncul sebagai satu-satunya penuntut bukan Melayu di dalam kelas dan juga fakulti pada awalnya menimbulkan sedikit perasaan rendah diri, namun segala kesangsian itu hanyalah seketika apabila dia diterima baik dan dapat bergaul rapat dengan semua orang. Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, dia berhasrat sambung pengajian selepas dua tahun bekerja kerana ingin mendapatkan pengalaman terlebih dahulu. “Sekarang ini, saya telah hampir enam bulan berkhidmat dengan sebuah syarikat rekaan di Kuala Lumpur dan saya bercadang untuk bekerja selama dua tahun sebelum mengambil keputusan menyambung pengajian di luar negara. 

"Saya ingin menimba pengalaman dan mengumpul wang untuk menampung pengajian nanti,” katanya. Bagi Ahmad Hanafi, 23, kejayaan itu didorong ketika menghadiri majlis konvokesyen salah seorang kakaknya empat tahun lalu di universiti itu. “Ketika itu, kakak saya tidak menerima Anugerah Pelajaran DiRaja dan saya mula nekad untuk berusaha bagi mendapatkan kecemerlangan dan ternyata segala usaha yang saya lakukan selama ini akhirnya berbaloi,” kata anak keenam daripada sembilan beradik itu. Jelas anak jati Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu itu lagi, diharap dengan kejayaan yang dicapai itu mampu memberi rangsangan buat adik-adiknya untuk turut meraih kecemerlangan dalam akademik.

GAMBAR : MOHD ROBI BIN NORDIN @ AZIZ 

diraja3   diraja1

Cetak E-mel