FSSG ANJUR PROGRAM JELAJAH ILMU

011214 JELAJAH ILMU Kuala Lumpur: Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) UniSZA telah menganjurkan Program Jelajah Ilmu kepada 80 orang pelajar Semester 1 Program Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial Dengan Kepujian pada 10-12 November yang lalu.

Program ini diadakan dengan kerjasama Anjung Singgah dan Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Jabatan Kerja Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan berlangsung di dua buah institusi iaitu Anjung Singgah dan UKM.

Program jelajah ilmu ini dianjurkan untuk memberi peluang kepada pelajar mengkaji, menganalisis dan membuat perbandingan apa yang mereka lihat dan pelajari.

Lawatan ke 2 buah institusi tersebut dapat memberi peluang kepada pelajar memahami lebih mendalam peranan institusi dalam perkhidmatan dan kebajikan sosial masyarakat serta perkaitannya dengan profesion kerja sosial.

Beberapa aspek nilai tambah untuk mereka terus bersaing dan meningkatkan lagi prestasi diri juga akan didedahkan dalam program ini.

Program ini telah mencapai objektif kerana pelajar Program kerja Sosial telah turun padang menjalankan kajian lapangan di Anjung Singgah iaitu sebuah institusi yang menempatkan golongan gelandangan. Institusi ini adalah dibawah kelolaan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Pelajar turut mengedarkan borang soal selidik dan menemuramah sendiri golongan gelandangan yang berada di institusi tersebut.

Manakala pelajar tahun 1 Program kerja Sosial telah mendapat pendedahan dan pencerahan mengenai profesion dan hala tuju kerja sosial. Ini menambahkan lagi semangat mereka untuk belajar dan mendalami ilmu kerja sosial.

Pihak FSSG mengucapkan ribuan terima kasih kepada Unisza yang telah memberikan dana dan sokongan untuk menjayakan program jelajah ilmu ini. Diharapkan supaya program-program seperti ini akan dapat dijalankan lagi pada masa hadapan.

011214 JELAJAH ILMU 2

Print Email