UniSZA Anjur Program Konvoi Amal Pattani

Kuala Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Pattani, Thailand, Yayasan Salam (Assalam Smart Association) dan UniSZA Bikers akan mengadakan program Konvoi Amal Pattani pada 17 hingga 19 Oktober ini.

Program selama tiga hari itu disertai seramai 19 pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama 50 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negera yang dikenali sebagai UniSZA Bikers

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Pembangunan), Prof Dr. Mohd Ekhwan Toriman, berkata program amal itu adalah satu cetusan idea beliau dan Naib Canselor yang mahukan UniSZA menyumbang di persada antarabangsa.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang program tersebut antaranya gotong royong, membersihkan kubur serta sumbangan kariah kepada Masjid Muhamnadiah, Pattani.

“Selain itu, turut diadakan perkhidmatan kesihatan percuma oleh pelajar perubatan kepada penduduk setempat seperti pemeriksaan darah, gigi, jantung dan sebagainya,” katanya.

Menurut Prof Ekhwan, program itu juga akan diadakan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara UniSZA dan Fatoni Universiti. 

Cetak E-mel