• PROFIL
  • Perutusan Pengarah

Perutusan Pengarah

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Sejarah KUSZA dan UniSZA bertambah mekar dengan bermulanya perkhidmatan Klinik Pakar Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin  kepada masyarakat umum.  Perasmiannya telah  disempunakan pada 6hb Ogos  2023 oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi setelah berjalannya  operasi perkhidmatan secara “trial run” untuk kakitangan UniSZA sejak bulan Julai 2022.

Secara umumnya perkhidmatan masakini termasuklah klinik-klinik Pakar pesakit luar dan perkhidmatan sokongan kepada orang awam seperti Klinik Perubatan Dalaman, Klinik Ortopedik, Klinik Oftalmologi, Klinik Otorinolaringologi (ORL), Klinik Pediatrik, Klinik Obstetrik & Ginekologi, Klinik Pembedahan, Klinik Psikiatri. Perkhidmatan sokongan bagi menyokong pengoperasian klinik-klinik yang dibuka juga beroperasi terdiri daripada Jabatan Farmasi, Jabatan Pengimejan Perubatan, Jabatan Patologi dan Makmal Perubatan serta Jabatan Rehabilitasi.

Secara khususnya hospital ini berfokus sebagai pusat latihan klinikal dan penyelidikan untuk Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Farmasi UniSZA.  Untuk melaksanakan peranan tersebut dengan sempurna, perkhidmatan  kepakaran klinikal kepada masyarakat umum akan disediakan secara berfasa untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua golongan masyarakat termasuklah golongan miskin tegar dan golongan asnaf. Sokongan yang padu daripada berbagai organisasi terutamanya daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu amatlah bermakna kepada pihak kami untuk mempastikan aspirasi masyarakat dapat kami tunaikan dengan sebaiknya.

Pengoperasian klinik pakar ini adalah merupakan fasa pertama (1) pembukaan HPUniSZA. Terdapat tiga (3) lagi fasa yang akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu Fasa 2: Perkhidmatan Pesakit Dalam, Fasa 3: Perkhidmatan Pembedahan (Bius Umum) dan Fasa 4: Perkhidmatan Keseluruhan Hospital termasuk Jabatan Kecemasan . InsyaAllah kita  menjangkakan hospital ini akan beroperasi sepenuhnya sebelum  suku kedua tahun 2024.

Satu daripada perkhidmatan yang mempunyai masa depan yang cukup cemerlang adalah perkhidmatan Kardiologi (Pediatrik dan Dewasa) telah dibuka kepada orang awam melalui kes-kes rujukan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Universiti Sains Malaysia. Perkhidmatan pakar kardiologi ini telah dibuka oleh HPUniSZA dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN). Kolaborasi ini telah memberi manfaat dan kemudahan kepada pesakit-pesakit sekitar Terengganu dan Kelantan dimana mereka tidak lagi perlu melalui  perjalanan yang jauh bagi mendapatkan pemeriksaan dan konsultasi pakar IJN.

Semoga dengan pembukaan hospital pengajar ini akan dapat memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia secara amnya.

 

يٰۤاَيُّهَا النَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُمۡ مَّوۡعِظَةٌ مِّنۡ رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى الصُّدُوۡرِۙ وَهُدًى وَّرَحۡمَةٌ لِّـلۡمُؤۡمِنِيۡنَ

“ Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepada mu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang beriman” (Surah Yunus : Ayat 57)

 

Sekian, Wassalamualaikum w.b.t.

 

PROF. DATO' DR. AHMAD ZUBAIDI BIN A.LATIF

Pengarah Hospital Pengajar UniSZA

dr nik web