SUKARELAWANAN GAP YEAR JAYAKAN PROGRAM SUMMER SPORT

Program Summer Sports Komuniti Sungai Rual telah dianjurkan oleh para peserta Gap Year Kesukarelawanan (Summer Volunteerism) UniSZA 2017 pada 23 Ogos 2017 yang melibatkan penyertaan masyarakat Orang Asli di Pos Sungai Rual. Program ini adalah anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), UMNO Bahagian Jeli, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Sekolah Kebangsaan Sungai Rual (SKSR).

Pelbagai aktiviti dan acara sukan telah berlangsung bagi memeriahkan lagi program tersebut. Antaranya ialah pertandingan futsal, takraw, permainan tradisional Orang Asli dan sukaneka. Fokus utama pelaksanaan program adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim antara peserta Gap Year UniSZA dengan penduduk kampung selain membentuk semangat sepasukan dan mengaplikasikan konsep kerjasama dalam pasukan. Program ini juga mampu mencungkil bakat masyarakat Orang Asli dalam bidang sukan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi dan mewujudkan persaingan secara sihat antara mereka.

Pada masa yang sama, pameran dan jualan kraftangan yang dihasilkan oleh penduduk Pos Sungai Rual turut diadakan. Ini menggalakkan masyarakat Orang Asli untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sekaligus mempromosikan hasil kerja mereka kepada masyarakat luar. Sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung dalam setiap pertandingan adalah sangat hebat dan menakjubkan.

Perasmian program dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato Ab Ghani Bin Harun (Pengarah KPDNKK Negeri Kelantan). Beliau mengharapkan supaya program sebegini akan diadakan lagi pada masa akan datang serta mendapat lebih banyak penyertaan dari orang kampung.

gap year 2gap year 3gap year 4

Print