Cetak

Program AWIE

Ditulis oleh Pentadbir.

 

TESL Society, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) mengambil inisiatif meneruskan program ‘A Weekend in English’ (AWIE) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah terpilih sekitar Kuala Terengganu. Program ini merupakan satu program komuniti yang diadakan untuk menggalakkan para pelajar sekolah menggunakan bahasa Inggeris. Program kali ini melibatkan dua buah sekolah iaitu  Sekolah Kebangsaan Batu Rakit yang berlangsung pada 20-22 Jun 2013 dan Sekolah Kebangsaan Pagar Besi berlangsung pada 27-29 Jun 2013. Sekolah Kebangsaan Batu Rakit melibatkan 146 orang pelajar manakala Sekolah Kebangsaan Pagar Besi seramai 139 orang pelajar dan 65 pelajar Diploma TESL UniSZA bertindak sebagai fasilitator. Program ini dibimbing oleh 10 orang terdiri daripada pensyarah dan guru bahasa FBK.

Bertemakan ‘English for Community’, Program AWIE dijalankan dengan dua jenis aktiviti utama iaitu aktiviti ‘indoor’ dan aktiviti ‘outdoor’. Kesemua aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk membantu pelajar sekolah rendah menguasai bahasa Inggeris dengan berkesan. Ia juga memberi peluang kepada pelajar TESL semester 4 untuk mengaplikasi pengetahuan pengajaran bahasa melalui aktiviti yang dijalankan, disamping mempersiapkan diri sebelum menjalani praktikum pengajaran pada semester 6. Selain itu, ia juga bertujuan menjalinkan kerjasama yang baik antara UniSZA dengan sekolah-sekolah rendah dan komuniti setempat.

Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan Majlis Perasmian Penutup bagi Sekolah Kebangsaan Batu Rakit disempurnakan oleh Dekan FBK, Pn. Azizah binti Endut pada 22 Jun 2013 manakala perasmian penutup bagi Sekolah Kebangsaan Pagar Besi disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim. Program ini akan diperluaskan ke sekolah-sekolah yang lain sekitar Kuala Terengganu.

 

ll Galeri ll

 

Sumber berita: Suhaimi bin Abas