Official Portal of University Sultan Zainal Abidin, Terengganu, Malaysia
Print

Sejarah Universiti Sultan Zainal Abidin

Keputusan Kerajaan menubuhkan Universiti Sultan Zainal Abidin (Dahulu dikenali Universiti Darul Iman Malaysia) menjadi satu sejarah dalam perkembangan institusi pengajian awam negara dan menjadi kebanggaan rakyat Negeri Terengganu secara khususnya dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Bermula dengan pengumuman daripada Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 26 Mac 2005 sehingga perlantikan Dato' Profesor Dr. Alias bin Daud sebagai Naib Canselor yang pertama pada 1 Januari 2006, maka bermulalah proses operasi Universiti Sultan Zainal Abidin dengan motto "Ilmu Demi Faedah Insan".

Pegawai-pegawai pengurusan tertinggi Universiti Sultan Zainal Abidin yang turut dilantik pada ketika itu adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Mohd Afandi bin Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Mohd Zahedi bin Daud, Pendaftar, Nurul Huda @ Ariffin bin Muda dan Bendahari, Baharin bin Salim @ Abdullah.

Adalah diharapkan Universiti Sultan Zainal Abidin akan dapat melahirkan pemimpin dalam pelbagai bidang melalui merekayasa ilmu, menggalakkan keterbukaan, menanam sikap kebertanggungjawaban dan menghargai kepelbagaian demi manfaat manusiawi.

Universiti Sultan Zainal Abidin juga berharap untuk melahir dan membentuk pemimpin yang bakat dan pemikirannya diasuh dengan ilmu, budaya tinggi, akhlak luhur serta berwajah antarabangsa.