Laman Web Rasmi UniSZA Laman Web Rasmi UniSZA (Bahasa Melayu) The Official Web site of UniSZA (English) Laman Web Rasmi UniSZA (Bahasa Arab) Tulisan merah Tulisan hijau Tulisan biru Tulisan asal Tambah saiz tulisan Saiz tulisan kembali asal Kurang saiz tulisan

Dr. Azrin Rangkul Anugerah

E-mail Print PDF

Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan dan Perbankan, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (FPPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Ahmad Azrin Adnan berjaya mengharumkan nama universiti apabila memenangi Anugerah Tesis Terbaik Yayasan Nurul Yaqeen 2011 (dahulunya dikenali sebagainya Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin).

Majlis penganugerahan ini berlangsung di Pullman Putrajaya Lakeside pada 16 April 2012. Ia merupakan penganjuran kali ketiga oleh Yayasan Nurul Yaqeen yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin merangkap Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen.

Tesis bertajuk `Penentu Pemilihan Institusi Perbankan Islam Dalam Kalangan Muslim di Terengganu’ ini pernah meraih Anugerah Tesis Cemerlang Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) pada 18 Mac 2011 dan dicalonkan untuk Anugerah Tesis Terbaik USM 2011.

Menurut Dr. Ahmad Azrin, tesis ini telah memberikan implikasi yang signifikan kepada aspek teoretikal dan praktikal.

Menurut beliau, dari segi teoretikal ia telah mengetengahkan satu model konsep Penentu Pemilihan Bank Menurut Muslim Ideal (PPBMMI) yang kemudiannya dijadikan instrumen untuk meneliti kepatuhan gelagat Muslim dalam urusan pemilihan bank. Instrumen ini kini telah diguna pakai oleh sekumpulan penyelidik USM dan seorang pelajar siswazah di USM.

Manakala dari segi praktikal pula, ia telah menghasilkan beberapa input baharu kepada pelaksanaan kurikulum pelajaran sedia ada di semua peringkat pengajian, polisi institusi perbankan Islam dan kedudukan semasa pendidikan kepenggunaan.

Paling menarik, melalui kajian ini membuktikan bahawa umat Islam sebenarnya bukan berhadapan dengan krisis pengetahuan mahupun kesedaran, tetapi krisis tindakan, iaitu beramal dengan apa yang diketahui.

Pada ketika usaha lebih banyak tertumpu kepada pengkayaan pengetahuan dan kesedaran, tumpuan kini seharusnya beralih kepada pengkayaan tindakan.

Dengan dorongan dan bimbingan Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh dan Dr. Zakaria Bahari di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia, tesis ini tidak hanya berjaya disiapkan dalam tempoh tiga tahun tetapi juga menghasilkan pelbagai bentuk penerbitan. Selain itu, tempoh cuti belajar berjaya dimanfaatkan oleh Dr. Ahmad Azrin dengan menjadi Penyelidik Pelawat di Islamic Research and Training Institute (IRTI), Islamic Development Bank (IDB), Jeddah, Arab Saudi.

Sumber Berita          Dr. Ahmad Azrin Adnan                FPPP

Last Updated on Monday, 30 April 2012 08:29