KUALA TERENGGANU – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyerahkan wang zakat pendidikan berjumlah RM 30,000 kepada Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) untuk disalurkan kepada pelajar yang layak menerimanya.
Penyerahan zakat tersebut dilakukan oleh Pengurus Besar BIMB, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh kepada Naib Canselor UDM, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud satu majlis ringkas di Bilik Mesyuarat LPU, UDM, baru-baru ini.
BIMB sebagai institusi kewangan yang mengamalkan prinsip Islam, memperuntukkan sejumlah zakat pendidikan untuk diagihkan kepada semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terpilih.
Dalam majlis itu juga, Dato’ Prof. Dr Alias mengucapkan terima kasih kepada pihak BIMB kerana menyerahkan zakat tersebut dan ianya akan diagihkan kepada pelajar yang betul-betul memerlukannya.
``Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada BIMB atas penyerahan wang zakat ini dan berharap kerjasama yang terjalin selama ini akan berterusan,’’ katanya.
Sementara itu, Wan Ismail berkata, diharap sumbangan zakat ini akan dapat mengurangkan bebanan sebilangan pelajar yang kurang mampu dan memberi peluang mereka menerima bantuan kewangan.
Menurutnya, sumbangan ini juga sebagai salah satu komitmen dan tanggungjawab sosial BIMB untuk memajukan agenda pendidikan negara.
Tambah beliau, sebelum ini BIMB menguruskan sendiri pemberian zakat kepada pelajar tetapi kali ini pihak bank menyerahkan terus kepada tabung kebajikan universiti kerana pihak universiti lebih tahu dan dapat mengenalpasti pelajar yang lebih layak menerima bantuan ini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pendaftar UDM, En. Nurul Huda Muda, Bendahari UDM, En. Baharin Salim, Pengarah Kampus KUSZA, Dr. Ahmad Shukri Yazid dan En. Nordin Jusoh (Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni).
Turut dibincangkan dalam majlis itu, peluang-peluang kerjasama yang boleh dilakukan antara pihak bank dan universiti pada masa akan datang.


