KUALA TERENGGANU - Pusat Kesihatan Pelajar (PKP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan satu program bersama anak-anak yatim di Asrama Darul Akhyar, Batu Rakit untuk merapatkan hubungan antara kakitangan UniSZA dengan komuniti luar.
Program yang diadakan pada 4 Ogos 2012 di ketuai oleh Ketua PKP, Dr. Aminuddin Abdul Rahman bersama-sama 15 orang kakitangan PKP yang terdiri dari pelbagai jawatan.
Asrama Anak-Anak Yatim Darul Akhyar yang terletak di Kampung Mengabang Kapal - Mukim Batu Rakit , adalah di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM ).
Menurut Penyelia Asrama, Ustaz Mohd Razaki, asrama ini menempatkan seramai 69 orang lelaki dan 75 orang perempuan yang terdiri daripada anak-anak yatim piatu dan fakir miskin berumur antara 13 hingga 19 tahun.
Antara pengisian program yang telah dijalankan pada hari itu ialah teknik-teknik asas pertolongan cemas dan pemeriksaan kesihatan. Anak-anak ini telah di pecahkan kepada empat stesen dimana stesen pertama mereka didedahkan kepada `First Aid Box’ dan cara-cara pemakaian anduh. Di sini anak-anak di dedahkan dengan barang-barang yang terdapat di dalam `First Aid Box’ serta kegunaannya. Cara pemakaian dan ikatan anduh yang betul juga telah diajar.
Stesen kedua pula , mereka telah diajar cara-cara untuk mencuci luka dengan menggunakan peralatan dan ubat dengan cara yang betul.
Sementara pada stesen ketiga mereka ditunjukkan cara membuat balutan yang betul. Pelbagai cara balutan telah di tunjukkan kepada anak-anak ini sebagai pengetahuan kepada mereka.
Manakala dua orang doktor telah ditugaskan di stesen keempat untuk memberi rawatan dan khidmat kaunseling. Ubat-ubatan juga telah dibekalkan kepada anak-anak ini sebagai mana yang telah ditetapkan oleh doktor .
Program ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada kakitangan untuk beramah mesra dengan penghuni asrama, malah juga dapat memupuk keinsafan dan kesyukuran dalam diri kakitangan itu sendiri. Semoga kami dapat meneruskan lagi aktiviti-aktiviti seperti ini di masa akan datang.
Sumber Berita NIK FAWZIA NOERBAITI NIK MOHAMOD PKP


