KUALA TERENGGANU - Pusat Pembangunan Akademik (CAD), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan gabungan bengkel iaitu Active Learning, Cooperative Learning dan Problem Based Learning UniSZA pada 23 hingga 25 Jun 2012 di Rumbia Villa Resort, Paka, Terengganu.
Bengkel ini telah dihadiri oleh 37 orang peserta dari kesemua fakulti di UniSZA dan dirasmikan oleh Ketua CAD, Abd. Rahim Ramli. Panel fasilitator dijemput khas dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Prof. Madya Dr. Berhanuddin Mohd Salleh yang mempunyai kepakaran dalam bidang Problem Based Learning dan beliau pernah merangkul anugerah Pingat Emas dan Perak dalam bidang tersebut.
Tujuan bengkel ini diadakan adalah agar pensyarah dapat melihat bagaimana pelajar merencanakan pemecahan masalah, melihat bagaimana siswa menunjukkan pengetahuan dan ketrampilannya selain mengetahui cara-cara pengajaran dan pembelajaran aktif yang perlu diterapkan kepada para pelajar bagi memupuk minat dan mendekati mereka.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta dibahagikan mengikut kumpulan yang mana setiap kumpulan mempunyai seramai empat dan lima orang peserta. Selain itu juga, mereka diberi tugasan luar dan menghuraikan permasalah yang timbul daripada tugasan yang dibuat bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang Problem Based Learning. Sambutan bagi bengkel ini amat menggalakkan dan akan diteruskan kepada pensyarah-pensyarah yang lain dalam meningkatkan mutu serta kualiti pengajaran dan pembelajaran di UniSZA.
Sumber Berita NOR SHUHADA MAT SANI CAD
Gambar MOHD RADZI ABDUL KADIR CAD


